CHUKAI: Seorang lelaki sempat berpaut pada sebatang pokok, manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kampung Ibok, di sini, petang semalam.
Kejadian jam 3 petang yang hampir meragut nyawa itu berlaku selepas skuter jenis Yamaha Ego dinaiki mangsa dihanyutkan arus deras ketika melalui jalan di kampung berkenaan yang dinaiki air.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kemaman, Kapten (PA) Mohd Suhaimi Awang @ Muhammad, berkata mangsa berusia lingkungan 20-an bernasib baik apabila kejadian itu disedari anggota APM yang sedang melakukan pemantauan banjir di sekitar lokasi kejadian.
Sebaik menyedari kejadian, anggota bertindak pantas menghulurkan bantuan bagi menyelamat mangsa daripada lemas berikutan air di lokasi kejadian dalam serta deras.
Katanya, anggota kemudian bertindak mengikat tali pada badannya sebelum meredah arus bagi menyelamatkan mangsa.
"Mangsa yang sempat berpaut pada sebatang pokok diselamatkan, manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri.
"Manakala motosikal mangsa hilang dibawa arus," katanya.
Sebelum ini, dalam kejadian jam 12.50 tengahari semalam, seorang penjawat awam nyaris maut selepas terperangkap selama 15 minit dalam kereta dipandunya yang hanyut dibawa arus.
Kejadian berlaku apabila mangsa berusia 27 tahun yang memandu Perodua Myvi bertindak meredah air ketika melalui Jalan Chukai-Air Putih yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira satu meter.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan