KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang, berkuat kuasa hingga hari ini, manakala beberapa tempat di Sabah pula hingga esok.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon, berkata amaran cuaca peringkat kuning di Terengganu meliputi kawasan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, sementara di Pahang pula membabitkan Kuantan.
Beliau berkata, amaran cuaca peringkat kuning hingga esok di Sabah merangkumi kawasan Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan.
"Dalam tempoh itu, tiupan angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri Pantai Timur Semenanjung dan Sabah," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sepanjang tempoh itu, beliau berkata, ribut petir, hujan lebat serta angin kencang juga dijangka berlaku di kebanyakan negeri di Pantai Barat Semenanjung.
Ia meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Turut dijangka mengalami keadaan cuaca yang sama ialah kawasan pedalaman di Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, dan Bera) serta barat Sabah dan barat Sarawak yang berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan pada struktur tidak kukuh.
Jailan berkata, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j), dengan ombak mencapai 3.5 meter, dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Sabah, dalam tempoh berkenaan.
"Keadaan ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai di kawasan terbabit.
"Selain itu, Lekukan Tropika berada di kedudukan 8.9 darjah utara dan 120.6 darjah timur, dijangka bergerak ke arah barat dengan kelajuan 15km/j.
"Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Sabah," katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan