RANTAU PANJANG: Seorang wanita memilih membawa keluarganya berpindah di rumah saudara berbanding ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai langkah berjaga-jaga daripada jangkitan COVID-19.
Lizawati Mat Salleh, 35, ditemui sedang mengharungi air separas 0.5 meter di hadapan rumahnya di Kampung Banggol Kulim, di sini, semalam, dengan membawa barang keperluan untuk berpindah ke tempat selamat.
Dia yang juga ibu kepada enam cahaya mata, mengakui biasanya seluruh keluarga berpindah ke PPS setiap kali banjir, namun kali ini mereka lapan beranak menumpang di rumah saudara kerana khuatir dengan keselamatan diri.
"Bukan saya tidak percaya kepada pengurusan di PPS, tetapi selagi ada pilihan lain, adalah lebih baik saya ke rumah saudara. Tambahan pula, saya tidak mahu menjadikan PPS lebih sesak, sekali gus dapat melancarkan lagi kerja pihak bertanggungjawab di sana.
"Saya dan suami, Mohd Halimi Zakaria, 47, mengambil keputusan berpindah dan terpaksa mengharungi air awal pagi (semalam) membawa enam anak termasuk yang bongsu berumur setahun, selepas banjir mula naik mendadak sehingga memasuki kawasan rumah.
"Kami hanya membawa barangan yang perlu sahaja termasuk beberapa helai pakaian dan dokumen penting selain sudah menempatkan peralatan elektrik ke tempat selamat kerana risau ditenggelami air dan rosak," katanya yang juga seorang suri rumah.
Lizawati berkata, mereka sekeluarga berpindah ke rumah saudara di Kampung Gual Tinggi yang bebas banjir dan biasanya terpaksa menumpang selama seminggu sehingga air surut.
"Kami sekeluarga tak berani nak tinggal di sini kerana air yang masuk di dalam rumah boleh mencapai paras 0.4 meter sehingga 0.6 meter, tambahan pula anak-anak saya masih kecil.
"Bagaimana pun, saya dan suami daripada awal lagi bersiap sedia menghadapi banjir dengan membina para yang tinggi di rumah untuk menyimpan barangan penting. Itulah cara yang kami boleh lakukan apabila banjir melanda hampir setiap tahun.
"Namun, kali ini berbeza kerana bukan sahaja terpaksa berhadapan musibah banjir tetapi juga ketakutan akibat pendemik COVID-19," katanya.
Tambahnya, dia berharap banjir pulih segera selain berterima kasih kepada semua petugas seperti polis, bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertungkus lumus sepanjang bah melanda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan