RANTAU PANJANG: Sebuah kedai roti canai di pekan Rantau Panjang tetap beroperasi seperti biasa walaupun premis digenangi air separas 0.3 meter susulan banjir melanda sejak semalam.
Tinjauan ke kedai terbabit di Kampung Cabang Tiga, di sini, mendapati, pelanggan juga duduk di bangku sambil merendam kaki di dalam air yang mengalir laju seolah-olah tiada apa berlaku, sekali gus memberi suatu suasana yang menarik.
Pemilik kedai, Mohd Fadhli Mat Zain, 53, berkata dia dan isteri, Umi Kalsom Yakub, 42, baru sahaja sebulan membuka kedai terbabit selepas berhenti kerja sebagai penjual buah di Jeli.
Katanya, mereka berdua mengambil keputusan untuk terus berniaga kerana banjir di kawasan itu tidak merbahaya kerana air cetek, malah penduduk sekitar juga tidak mahu kedai ditutup.
"Kedai saya menjadi tumpuan kerana tidak banyak gerai dibuka di sini sepanjang banjir. Namun, saya tetap mengikuti prosedur operasi standard (SOP) selain menasihatkan pelanggan menjaga penjarakan fizikal.
"Ini adalah pengalaman pertama berniaga makanan di dalam air kerana kami juga baru sahaja mula membuka kedai roti canai ini. Tetapi saya akui, agak seronok ditambah pula pelanggan yang datang masih sama seperti hari biasa.
"Selain itu, pelbagai ragam pelanggan boleh dilihat, tidak kurang juga yang mencuit hati kerana suasana makan sambil berendam kaki di dalam air," katanya ketika ditemui di kedai makan miliknya, semalam.
Mohd Fadhli yang juga bapa kepada empat cahaya mata berkata, barangan asas untuk membuat roti canai sudah dibeli awal dan dijadikan stok kerana dapat mengagak banjir bakal melanda.
"Saya akan terus membuka kedai ini, namun bergantung keadaan banjir, andai kata ia naik semakin tinggi dan membahayakan saya tutup demi keselamatan bersama.
"Alhamdulillah, pendapatan yang diperolehi sama sahaja seperti hari biasa susulan pelanggan yang datang juga tidak berkurangan malah semakin bertambah.
"Tambahan pula, musim hujan memang kita sentiasa rasa lapar dan ramai penduduk sekitar yang datang membeli roti canai di kedai kami," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan