Jumaat, 4 Disember 2020

Lima bulan bergelap, semoga i-Sinar terangi kehidupan kami – Doraisamy .

MGF04122020_TINJAUAN-KWSP-19
Seorang pencarum selesai menyemak kelayakan untuk memohon kemudahan i-Sinar 
ketika tinjauan MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Hilang pekerjaan sejak lebih  setahun lalu menjadikan kehidupan Doraisamy a/l Mottayan bertambah sukar apatah lagi hutang di kelliing pinggang menyebabkan beliau tidak mampu membayar sewa rumah, bil elektrik dan bil air di kediaman sendiri.

Kesempitan hidup lelaki berusia 48 tahun itu terpaksa juga diharungi bersama isterinya, namun pandemik Covid-19 menyebabkan pasangan itu sukar untuk bangkit semula.

“Hutang api, air sudah banyak dan hampir RM5,000.  Bekalan elektrik kini dipotong dan apabila malam kami pakai lilin sahaja sejak lebih kurang lima bulan lalu. Jadi saya perlukan duit ini untuk bayar hutang-hutang,” katanya ketika ditemui di MalaysiaGazette di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, hari ini.

MGF04122020_TINJAUAN-KWSP-1
Doraisamy a/l Mottayan

Berkongsi kepayahan menanggung hutang, Doraisamy berterus-terang bahawa beliau amat bersyukur apabila kerajaan memperkenalkan program i-Sinar yang membolehkan ahli-ahli KWSP mengeluarkan caruman Akaun 1 mengikut kategori serta kriteria yang diperincikan kelmarin.

Katanya, program tersebut benar-benar menjadi sinar di hujung terowong buat beliau dan sekeluarga yang tidak lagi mampu menanggung kesulitan demi kelangsungan hidup.

Dalam melahirkan kesyukuran, penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas itu meletakkan harapan yang amat tinggi kepada KWSP agar permohonannya dipermudahkan.

MGF04122020_TINJAUAN-KWSP-8
Sebahagian pelanggan beratur untuk membuat urusan 
berkaitan kemudahan i-Sinar di Ibu Pejabat Kumpulan Wang 
Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto MOHD 
ADZLAN,

KWSP Rabu lalu memperincikan kelayakan di bawah kemudahan i-Sinar yang bakal dimanfaatkan oeh lapan juta pencarum terdiri daripada dua kategori.

Kategori 1 melibatkan mereka yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi Kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan atau;

Bagi Kategori 2 pula, terbuka kepada ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas.

Sementara itu, seorang suri rumah Zaitun Mohd Zainuddin, 34, yakin kemudahan i-Sinar akan dapat membantu kedudukan kewangan keluarganya selepas gaji suaminya dipotong sejak awal Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

MGF04122020_TINJAUAN-KWSP-2
Zaitun Mohd Zainuddin

Sudah tentu jika permohonan i-Sinar diluluskan, beliau akan menggunakannya untuk melengkapkan keperluan  anak-anak termasuklah membeli barangan dapur untuk kegunaan setiap hari.

“Alhamdulillah, baguslah boleh membantu suri rumah meringankan tanggungan kewangan suami yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19. Saya amat berharap permohonan dapat diluluskan,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Dalam pada itu, Mohd Jamri Maritim, 46, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan melahirkan rasa terkilan kerana syarat yang ditetapkan oleh KWSP agak ketat.

MGF04122020_TINJAUAN-KWSP-3
Mohd Jamri Maritim

Beliau juga menyuarakan kebimbangan pihak majikan enggan memberi kerjasama untuk membuktikan dirinya layak mengeluarkan Akaun 1 dengan dokumen sokongan yang diperlukan.

“Sebenarya semua terjejas walaupun ada kerja tetapi pendapatan berkurangan. Macam saya mungkin saya boleh tampung diri saya, tetapi saya tidak dapat tampung keluarga khususnya ibu bapa saya.

“Jadi kalau syarat tidak banyak saya pun mahu keluarkan jugak Akaun 1 itu,” katanya yang hadir di Ibu Pejabat KWSP untuk membuat semakan kelayakan.

Senada dengan Mohd Jamri, Eksekuti Kanan di sebuah syarikat swasta iaitu Aspar Mahadi Abdul Manaf, 41, berharap agar KWSP memudahkan kelulusan permohonan i-Sinar.

MGF04122020_TINJAUAN-KWSP-4
Aspar Mahadi Abdul Manaf

Bukan sahaja kepada semua pencarum yang layak, Aspar berkata proses perlu dipermudahkan khususnya bagi pencarum di kalangan M40 yang turut terjejas pada waktu ini.

“Perluaskan lagi kepada lebih ramai pencarum kalau boleh kepada semua pencarum ramai juga yang terjejas itu wang sendiri kan kalau boleh keluarkan lebih bagus,” katanya.

Beliau juga memuji KWSP kerana membenarkan jumlah pengeluaran Akaun 1 sebanyak RM10,000 yang padanya memadai bagi membantu menstabilkan kewangan ketika ini. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: