Selasa, 15 Disember 2020

Ketukan misteri ‘sepi’ selepas rondaan penduduk

Oleh KHAIRUL MOHD ALI
RONDAAN malam yang dijalankan penduduk dengan kerjasama polis ekoran kejadian ketukan misteri di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Penduduk Kampung Melayu Majidee di sini boleh menarik nafas lega selepas gangguan ketukan misteri yang berlaku minggu lalu kini ‘sepi’ sejak dua hari lalu.

Ketua Kampung Melayu Majidee, Md. Saleh Tukiran berkata, misteri itu terhenti setelah para penduduk mengambil inisiatif melakukan rondaan pada sebelah malam bagi mengetahui dalang sebenar ketukan itu. 

Ujarnya, pihaknya juga telah memaklumkan gangguan itu kepada polis setelah tular di media sosial baru-baru ini.

“Rondaan yang dilakukan penduduk kampung masih diteruskan sehingga kini dengan bantuan daripada anggota polis dan Pejabat Daerah.

“Kita masih belum tahu punca sebenar kejadian ini sama ada manusia atau membabitkan unsur mistik. Jika ianya berkaitan sihir atau gangguan makhluk halus sukar nak dijelaskan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Pada baru-baru ini, dua kediaman di kampung berkenaan mendakwa diganggu ketukan misteri itu berlaku pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Mereka mendakwa gangguan tersebut berlaku antara pukul 12.30 tengah malam hingga 3.30 pagi dan berlaku di pintu depan dan belakang rumah selain turut kedengaran seolah-olah orang mengilai.

Selain Kampung Melayu Majidee, penduduk di Taman Serimbun, Iskandar Puteri turut mendakwa diganggu bunyi ketukan pintu sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pengawal keselamatan.

Namun, pengawal keselamatan memaklumkan pihaknya tidak melihat kelibat manusia di taman perumahan berpagar itu manakala pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah pengadu juga tidak mengesan sebarang pergerakan mencurigakan.

Tambah Md. Saleh lagi, walaupun gangguan itu sudah tidak berlaku namun pihaknya tetap mengambil keputusan untuk terus melakukan rondaan.

“Mustahil gangguan tersebut dilakukan budak-budak nakal di kampung ini kerana sejak pandemik Covid-19, majoriti penduduk sudah tidak keluar rumah pada waktu malam,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya juga berharap lebih 30,000 penduduk kampung itu agar kekal bertenang dan tidak panik kerana perkara berkenaan sedang disiasat manakala sebarang masalah boleh dikemukakan kepada pihaknya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: