Selasa, 15 Disember 2020

Abang selamatkan adik dicalonkan Anugerah Pingat Hang Tuah

SIK: Keberanian abang menyelamatkan adiknya dihanyutkan arus deras tahun lalu, membolehkan kanak-kanak itu dicalon sebagai penerima Anugerah Pingat Hang Tuah.

Muhammad Aniq Zakir Abdullah, 11, berkata dia masih terbayang melihat dua adiknya, Muhammad Aidid Rayaan, 7, dan Nur Ammara Qalesya, 5, dibawa arus longkang besar berdekatan rumah mereka di Bandar Baru Beris Jaya, di sini.

Katanya, dalam kejadian 6 Oktober tahun lalu itu, paling menyedihkan apabila Nur Ammara terlepas pegangan pada kakinya menyebabkan dia dibawa arus sebelum ditemui lemas kira-kira 1.4 kilometer dari tempat kejadian.

"Saya masih trauma dengan kejadian itu, seperti baharu sahaja berlaku. Saya masih kesal kerana hanya dapat menyelamatkan Muhammad Aidid dan tidak sempat membantu Nur Ammara ketika hanyut.

"Ketika itu, saya sudah mengejar Nur Ammara di tepi longkang sejauh 10 meter dan menghulurkan kaki untuk dia berpaut, tetapi pegangan tangannya terlepas sebelum dia terus hilang dari pandangan," katanya dalam nada sedih.

Muhammad Aniq Zakir Abdullah,11,(kanan) bersama adiknya Muhammad Aidid Rayaan,7, menunjukkan longkang lokasi Nur Ammara Qalesya,5, terjatuh dan dibawa arus deras dalam kejadian 6 Oktober tahun lalu. - Foto ihsan PKMD Sik
Muhammad Aniq Zakir Abdullah,11,(kanan) bersama adiknya 
Muhammad Aidid Rayaan,7, menunjukkan longkang lokasi 
Nur Ammara Qalesya,5, terjatuh dan dibawa arus deras dalam 
kejadian 6 Oktober tahun lalu. - Foto ihsan PKMD Sik

Muhammad Aniq berkata, sebelum kejadian mereka bertiga baharu sahaja pulang dari perpustakaan jam 4 petang dan Nur Ammara mengajak melihat arus deras longkang yang mengalir dari cerun bukit selepas hujan lebat berhenti.

"Tiba-tiba, selipar kiri Nur Ammara terjatuh ke dalam longkang dan dia cuba mengambilnya tetapi dia pula tergelincir dan terus jatuh ke dalam longkang sehingga dibawa arus deras.

"Nur Ammara ada menjerit meminta tolong dan Muhammad Aidid cuba mencapai tangan Nur Ammara, tetapi dia pula terjatuh ke dalam longkang dan dibawa arus.

"Muhammad Aidid bagaimanapun, sempat berpaut pada besi paip sebelum diselamatkan," katanya.

Katanya, selepas gagal menyelamatkan Nur Ammara, dia terus berlari balik bagi meminta pertolongan mencari adiknya itu sebelum ditemui lemas.

Ibu mereka, Norazmawati Saman, 37, berkata keluarganya reda dengan apa berlaku dan tetap menganggap Muhammad Aniq yang juga anak sulungnya sebagai wira kerana sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan adiknya.

Atas keberanian Muhammad Aniq itu, dia dipilih menerima Anugerah Keberanian daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sik semalam, dan dicalonkan untuk menerima Anugerah Pingat Hang Tuah.

Penyerahan sijil itu dilakukan Pegawai PKMD Sik, Shamsul Izrin Isahak di rumah kanak-kanak itu semalam.

Tiada ulasan: