BALING: Kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi keadilan buat keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, setakat ini pihak Jabatan Peguam Negara masih menunggu hasil siasatan polis yang difahamkan kini di peringkat akhir, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.
Adib meninggal dunia semasa bertugas ketika berlaku rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dua tahun lepas
“Satu inkues telah dibuat di mahkamah. Koroner atau hakim yang mendengar inkues membuat ‘verdict’ (keputusan) bahawa punca kematian adalah kerana tindakan jenayah oleh dua orang atau lebih, yang tidak diketahui,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) Kedah di sini, hari ini.
“Itu ‘verdict’ oleh koroner, jadi menyebabkan pendakwa raya apabila hendak mendakwa seseorang, perlu mengenal pasti pelaku jenayah itu.“Jadi oleh kerana ‘verdict’ itu mengatakan orang yang tidak diketahui, maka menyebabkan tindakan pendakwaan tidak dapat dibuat.
“…saya difahamkan bahawa Jabatan Peguam Negara meminta pihak polis membuat siasatan lanjut dan saya difahamkan pihak polis turut mencadangkan diadakan inkues baharu, tapi setakat ini tiada lagi inkues baharu,” katanya.
Takiyuddin berkata demikian semasa mengulas kekecewaan keluarga Adib dengan cadangan mengadakan semula inkues kematian anggota bomba itu kerana sudah terlalu lama bersabar menunggu pembelaan terhadap arwah.
Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.
Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan