Ahad, 20 Disember 2020

Annuar beri amaran tindakan tegas pada ‘orang dalam’ sewa lesen warga asing

Annuar Musa (empat dari kiri) beramah mesra dengan warga emas Tan Su Kat, 86, 
 (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan penduduk yang dilaporkan dalam keadaan 
daif di Flat Taman Segar di Cheras hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang menyalahgunakan kuasa dengan memberikan lesen perniagaan kepada warga asing, termasuk pemegang asal lesen.

Menterinya, Annuar Musa berkata, dasar kerajaan jelas menyatakan warga asing tidak dibenarkan memiliki lesen perniagaan, sama ada di tapak sementara Pasar Borong Selayang atau pasar tani berhampiran.

“Kita tidak akan berkompromi kalau pemegang sewakan lesen kepada warga asing, mereka akan disenaraihitamkan dan dirampas lesen serta-merta.

“Jadi, kita kena balik kepada peraturan, warga asing tidak boleh memiliki lesen. Lesen perniagaan hanya untuk warganegara, itu hak warganegara, kalau hak itu disalah guna, kita mesti ambil tindakan, jangan pandang sebelah mata.

“Saya harap kalau ada maklumat, kalau ada orang dalam terlibat, lapor kepada saya dan SPRM,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan kepada penduduk Parlimen Cheras di Flat Taman Segar, Cheras.

Beliau ditanya laporan Berita Harian mengenai peniaga asing dipercayai sanggup membayar sehingga RM3,000 sebulan untuk mendapatkan ruang niaga berhampiran tapak sementara Pasar Borong Selayang di Kuala Lumpur serta pasar tani berdekatan.

Akhbar itu melaporkan “kemasukan” pendatang asing untuk berniaga diuruskan “orang dalam” daripada persatuan peniaga tertentu yang mengenakan bayaran jauh lebih tinggi berbanding lebih RM900 setahun yang dikenakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk peniaga tempatan.

Annuar berkata, beliau tidak akan melayan rayuan mana-mana pihak supaya memberi kelonggaran kepada warga asing kerana ia bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

“Saya faham ada wakil, termasuk MPP (Majlis Perwakilan Penduduk) datang memujuk saya supaya beri kelonggaran. Kalau kita mula longgarkan, akhirnya kita tak boleh kuat kuasa apa pun.

“Macam saya kata, rayuan sebegini saya langsung tidak akan layan, lagipun dalam keadaan rakyat kita susah nak dapat lesen, orang kita rasa kecil hati kalau mereka tengok warga asing boleh berniaga.”

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu mendahulukan rakyat dalam pemberian lesen perniagaan dan pekerjaan.

“Berapa ramai orang datang jumpa saya nak mohon lesen pasar borong, pasar harian. Kalau orang tempatan tak dapat lesen, macam mana warga asing boleh berniaga?

“Kalau rakyat kita nak dapat lesen niaga tepi jalan, pasar borong pun payah, apa nak jadi kepada negara kita? Kita kena bela rakyat kita dulu.”

Katanya, beliau memahami tujuan majikan mahu mengambil pekerja asing bekerja di pasar borong kerana bayaran gaji rendah, namun penilaian menyeluruh perlu dilakukan.

“Jangan tengok duit saja, kita kena tengok secara keseluruhan, dahulukan rakyat kita yang nak buat kerja. Kalau semua peluang bagi warga asing, rakyat kita susah.

“Jangan bayar gaji murah dan sewa terlalu mahal kepada rakyat kita sebab mereka tak mampu. Jadi, jangan rosakkan pasaran tawaran kerja dan peluang perniagaan.”

Pada 23 Okt lalu, DBKL mengeluarkan notis kepada pemborong yang mereka hanya dibenarkan mengambil pekerja tempatan mulai 1 Jan 2021.

Tiada ulasan: