Ahad, 13 Disember 2020

Kerajaan beli vaksin untuk 70 peratus penduduk, segerakan penghantaran

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan vaksin COVID-19 negara yang dijangka tiba Mac ini, dihantar lebih awal daripada tarikh itu dan bekalan pula ditambah hingga 70 peratus penduduk daripada sasaran 30 peratus sekarang.

Perdana Menteri berkata langkah itu bagi memastikan kesihatan rakyat terus terjamin di samping memastikan bekalan vaksin COVID-19 negara boleh digunakan segera.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau juga sudah mengarahkan bekalan vaksin COVID-19 segera ditambah hingga 70 peratus daripada keseluruhan populasi negara.

Katanya, penambahan vaksin hingga 70 peratus itu juga dinasihat dan disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

Muhyiddin menyampaikan bantuan barangan asas "Gobok Rezeki" kepada ibu tunggal, M Mathimala (kanan) yang terkesan akibat COVID-19 ketika menghadiri Sambutan Hari Deepavali 2020 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Dewan Muniandy Sagil, Tangkak hari ini. - fotoBERNAMA
Muhyiddin menyampaikan bantuan barangan asas "Gobok 
Rezeki" kepada ibu tunggal, M Mathimala (kanan) yang 
terkesan akibat COVID-19 ketika menghadiri Sambutan 
Hari Deepavali 2020 Peringkat Dewan Undangan Negeri
(DUN) Gambir di Dewan Muniandy Sagil, Tangkak hari 
ini. - fotoBERNAMA

"Vaksin yang Malaysia beli dijangka sampai Mac ini, namun saya sudah minta ia dihantar lebih awal daripada itu demi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat.

"Saya juga sudah arahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk berunding dan dapatkan bekalan vaksin COVID-19 hingga 60 atau 70 peratus daripada jumlah populasi rakyat kita.

"Sekarang Malaysia sudah dapatkan 30 peratus vaksin COVID-19, namun bagi saya ia tidak mencukupi.

"Ada negara penduduk tak ramai tetapi beli hingga 200 peratus vaksin COVID-19 berbanding jumlah rakyat. Kanada juga beli lima kali ganda vaksin COVID-19 daripada jumlah rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Deepavali peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Dewan Muniandy, Sagil, Tangkak, hari ini.

Muhyiddin menandatangani plak ketika menghadiri Sambutan Hari Deepavali 2020 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Dewan Muniandy Sagil, Tangkak hari ini. - foto BERNAMA
Muhyiddin menandatangani plak ketika menghadiri Sambutan Hari Deepavali 2020 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Dewan Muniandy Sagil, Tangkak hari ini. - foto BERNAMA

Tiada ulasan: