Ahad, 13 Disember 2020

Filem 'Babi': SKMM minta Seniman tampil kemukakan aduan

BH ONLINE
Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah selepas membuat laporan polis kelmarin mengenai siaran filem Babi arahan Namewee. - Foto NSTP/Fathil Asri
Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah selepas membuat laporan polis kelmarin mengenai siaran filem Babi arahan Namewee. - Foto NSTP/Fathil Asri

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) tampil mengemukakan aduan kepada pihaknya susulan laporan polis persatuan itu kelmarin terhadap siaran filem kontroversi arahan Wee Meng Chee atau Namewee berjudul 'Babi'.

Menurut SKMM, proses penelitian terhadap kandungan yang diadu boleh dibuat berdasarkan kepada peruntukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Selain AKM, penelitian lanjut juga boleh dibuat oleh agensi penguatkuasaan yang berkenaan mengikut peruntukan undang-undang lain yang terpakai berkaitan dengan kandungan atau penyiaran kandungan.

"Sekiranya hasil penelitian dan siasatan yang dijalankan mendapati terdapat unsur pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang sedia ada, maka tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh agensi yang berkenaan selaras kesalahan yang dilakukan mengikut undang-undang," kata SKMM dalam satu kenyataan.

Pada 19 November lalu, SKMM telah berhubung dengan pihak YouTube berhubung trailer filem 'Babi' yang dimuat naik dalam saluran YouTube Namewee, namun masih menunggu maklum balas daripada pihak mereka yang berpangkalan di luar negara.

Tiada ulasan: