Jumaat, 25 Disember 2020

Jururawat cedera disamun dengan pisau, lima penjenayah ditahan

 Oleh NOR SHAFAWATI YUP

BARANG rampasan yang ditemukan dalam kereta milik suspek kes samun bersenjata melibatkan mangsa seorang jururawat di Bandar Spring Hill Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini. - IHSAN POLIS

PORT DICKSON: Seorang jururawat cedera di muka selepas bergelut dengan suspek dalam kejadian samun bersenjata di rumahnya di Bandar Spring Hill, Lukut di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mustafah Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun  didatangi suspek yang mengacukan sebilah pisau serta mengarahkannya menyerahkan barang yang ada padanya.

“Ketika kejadian mangsa yang bertugas sebagai jururawat di Seremban baru pulang dari tempat kerja dan sedang menutup pintu pagar rumah.

“Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Port Dickson,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mustafah, suspek melarikan seunit telefon bimbit milik mangsa dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Axia dan anggaran kerugian lebih kurang RM500.

“Bertindak atas maklumat, tiga jam selepas itu polis menahan lima suspek kira-kira pukul 11.30 hingga 12.30 tengah hari di tempat berasingan iaitu di Telok Kemang dan di sebuah apartmen di Port Dickson.

“Suspek yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita yang kesemuanya berusia antara 16 hingga 37 tahun,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta suspek  menemukan tiga peket plastik berisi ketulan kristal seberat 2.02 gram disyaki dadah, peralatan menghisap dadah, tiga bilah pisau, alat gerudi dan lain-lain.

“Semakan mendapati, empat suspek yang ditahan mempunyai rekod berkaitan jenayah dan narkotik dan hasil ujian air kencing juga mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis syabu. 

“Hasil tangkapan tersebut, polis menyelesaikan empat kes samun dan satu kes kecurian di Port Dickson dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk proses tahanan reman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: