JOHOR BAHRU : Pada kebiasaannya ibu bapa atau penjaga akan menghantar anak kecil untuk dijaga ketika keluar bekerja, namun situasi berbeza dengan sepasang suami isteri.
Awang Sebawi Awang Halil, 55, bersama isterinya, Noorfadzillah Daud 48, sanggup menjaga 10 ekor kucing atas dasar cintanya kepada haiwan tersebut yang dihantar oleh rakan-rakan yang keluar bekerja.
Menurut Awang Sebawi, kucing-kucing yang dihantar lengkap dengan sangkar dan makanan serta beberapa aksesori kucing.
“Saya bersama isteri memang sukakan kucing, jadi bila ada rakan yang menghantar kucing untuk dijaga memang saya terima dengan hati terbuka.
“Setakat ini saya menjaga 10 kucing di rumah yang dihantar rakan-rakan selepas mereka keluar pergi ke tempat kerja,” katanya kepada pemberita di kediaman mereka Taman Desa Rahmat di sini hari ini.
Kata Awang Sebawi, kucing itu dijaga sama seperti menjaga bayi dengan haiwan perlu dibersihkan dan diberikan makan dengan semua ditanggung sepenuhnya pemilik kucing.
“Saya belai mereka seolah seperti bayi, kalau kita sayang mereka, Insya Allah kucing-kucing juga sayang kita,” katanya.
Dalam pada itu, Noorfadzillah Daud berkata, dia kini menjaga seekor kucing betina yang baharu menjalani pembedahan membuang kaki kanan hadapan akibat digilis kenderaan baru-baru ini.
“Pada mulanya kucing jenis parsi ini ada pemiliknya tetapi setelah kucing tersebut dilanggar oleh kenderaan dan mendapat kecederaan, ia dibiarkan di tepi jalan dalam keadaan sangat menyedihkan.
“Sehinggalah datang seorang rakan saya yang kebetulan lalu di Taman Desa Rahmat telah menjumpanya dan membawa ke klinik untuk menjalani rawatan.
“Setelah dipotong kaki kanan hadapan dan sembuh rakan saya telah menghantar kucing itu kepada saya untuk dijaga sementara,” ujarnya.
Jelasnya kucing tersebut baru diambil dari klinik semalam dan keadaannya bertambah sihat berbanding ketika dijumpai. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan