PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap dua buah penerbitan bertajuk, Gay is OK! A Christian Perspective dan Peichi kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan dan kepentingan awam.
Ketua Setiausahanya, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, perintah larangan ke atas penerbitan, Gay is OK! A Christian Perspective melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 340 bertarikh 27 November 2020 dan “Peichi” melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 355 bertarikh 15 Disember 2020.
Katanya, kandungan penerbitan bertajuk, Gay is OK! A Christian Perspective dilihat cuba mempromosikan budaya homoseksual di Malaysia yang melanggar sensitiviti agama dan budaya di negara ini.
“Amalan hidup songsang adalah jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.
“Manakala penerbitan bertajuk Peichi memuatkan kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan norma hidup masyarakat Malaysia yang amat menitikberatkan kesopanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, warta Perintah Larangan ini adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Katanya, perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
“Mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan kesalahan.
“Seseorang itu boleh dipenjarakan maksimum tiga tahun atau didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8(2) Akta 301 tersebut,” katanya.
Tambahnya, jika orang awam mendapati berlakunya pengedaran di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan, KDN di talian telefon 03 – 88868047 atau faks 03 – 88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan