TANGKAK: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang menimpa dua adik beradik lelaki yang terselamat daripada lemas selepas terjatuh ke longkang besar di Taman Tangkak Jaya, Tangkak, hari ini.
Kanak-kanak lelaki masing-masing berusia lapan dan empat tahun itu dilaporkan tergelincir dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil selipar milik abangnya yang terjatuh ke dalam longkang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Rafiah Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melaporkan insiden membabitkan dua kanak-kanak pada jam 3.15 petang tadi.
Katanya, seramai 10 anggota bomba bersama beberapa jentera dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
"Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan ada dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan empat tahun dihanyutkan arus di lokasi berkenaan.
"Bagaimanapun, mangsa berusia empat tahun yang terjatuh dan dihanyutkan arus deras berjaya diselamatkan orang awam.
"Seorang lagi kanak-kanak berusia lapan tahun berjaya ditemui keadaan selamat kira-kira 400 meter dari lokasinya terjatuh," katanya kepada BH, hari ini.
Rafiah berkata, dua beradik itu terjatuh ke dalam longkang besar sedalam tiga meter ketika cuba menyelamatkan sepasang selipar milik abangnya yang dihanyutkan arus.
Katanya, dua kanak-kanak dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan susulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan