Kuala Pilah: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah situasi yang dihadapi wartawan sambilan Harian Metro yang menjaga ibu bapanya yang sakit.
Bukan hanya perlu mengurus keperluan harian ayahnya, Yahya Maarof, 75, serta ibunya, Rohah Amin, 72, bahkan Amran, 52 perlu membawa kedua orang tuanya ke klinik kesihatan dan hospital bagi mendapatkan rawatan mengikut jadual ditetapkan.
Malah, Amran juga turut mempunyai temujanji dengan doktor selepas mengidap penyakit berkaitan darah dan pernah dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan.
Selain tanggungjawab terhadap ibu bapanya dan diri sendiri, Amran juga perlu memberi perhatian kepada anak bongsunya Fatin Nurshafa Humairah yang kini berusia lima bulan dan turut menerima rawatan susulan sama ada di Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN) Kuala Pilah atau Hospital Tuanku Ja'afar ( HTJ).
Begitulah rutin Amran, ayahnya perlu dibawa ke hospital dan klinik kesihatan berbeza, sama ada ke Klinik Kesihatan Juasseh, HTAN atau Hospital Serdang selepas menghidap angin ahmar serta kanser prostat.
Ibunya yang mengidap penyakit saraf perlu dibawa untuk rawatan ke Klinik Kesihatan Pertang.
Dia sendiri perlu memenuhi temujanji rawatan sama ada di Klinik Kesihatan Juasseh, HTAN atau HTJ.
Namun tanggungjawab yang digalas tidak pernah dikesalinya bagi memastikan orang tua serta anaknya mendapat perhatian sewajarnya.
Ditemui di rumahnya di Taman Putra, di sini, Amran mengakui dia perlu memberi tumpuan kepada ibu bapanya sehingga tidak begitu aktif sebagai wartawan sambilan.
Katanya, ayahnya sudah tidak boleh bergerak dan terlantar di atas katil akibat kanser prostat perlu diberi perhatian termasuk menguruskan kebersihan dirinya.
"Saya perlu membersih luka pada bahagian pusat ayah yang sudah ditebuk bagi memasukkan tiub saluran air kencing setiap hari bagi mengelakkannya bernanah, selain memastikan luka sentiasa kering dan tidak dijangkiti kuman.
"Jika saya tidak melakukannya sendiri, ayah perlu dibawa ke hospital setiap hari bagi tujuan itu," katanya kepada Harian Metro.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, ayahnya mengidap angin ahmar sejak lima tahun lalu dan pada April lalu disahkan mengidap kanser prostat, manakala ibunya mengidap penyakit saraf sejak 10 tahun lalu.
Katanya, ketika ayah masih sihat, ayahnya itu menjaga ibu dan mereka berdua tinggal di rumah sendiri di Felda Pasoh Tiga.
"Apabila ayah sakit, saya membawanya ke rumah untuk dijaga selepas berbincang dengan adik-beradik yang lain.
"Mujurlah saya bukan pekerja tetap sekali gus boleh menjaga ibu dan ayah pada sepanjang masa.
"Enam beradik lain turut mengambil berat mengenai keadaan ayah dan ibu namun disebabkan masing-masing berkerja, saya ambil keputusan untuk menjaga mereka.
" Adik-beradik apabila ada cuti akan datang ke sini menjenguk ayah dan ibu selain itu akan membawanya pulang ke kampung di Felda Pasoh Tiga," katanya.
Amran berkata, dia memahami kesukaran dialami adik-beradiknya itu untuk menjenguk ayah dan ibu dengan kerap berikutan turut mempunyai tanggungjawab lain.
Katanya, adik-beradik juga mahu menjaga kedua orang tua mereka namun disebabkan perjalanan ke rumah masing-masing mengambil masa yang lama, ayah terutamanya tidak boleh berada terlalu lama di dalam kereta.
"Ayah ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, selain bantuan dari Baitulmal iaitu lampin pakai buang setiap bulan.
"Perbelanjaan lain yang memerlukan bagi ayah dan ibu pula akan dikongsi kami adik-beradik, " katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Amran boleh menyalurkan sumbangan ke akaun 155023368118, Maybank atas nama Amran Yahya atau menghubunginya di talian 010-8408810.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan