Selasa, 8 Disember 2020

487 ditahan ingkar SOP hari terakhir PKPB

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada hari terakhir semalam kecuali di beberapa kawasan, menyaksikan peningkatan individu ditahan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 487 individu ditahan polis di seluruh negara atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, 470 individu dikompaun manakala baki 17 direman dengan kesalahan tertinggi ialah gagal mematuhi jarak fizikal iaitu 205 individu.

“Ini diikuti seramai 94 individu kerana melakukan aktiviti pusat hiburan, tidak memakai pelitup muka (77 individu), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59 orang) dan lain-lain (52 individu).

Tambahnya,, 2,580 pasukan Task Force Operasi Pematuhan melibatkan 11,612 anggota membuat pemantauan di 3,476 pasar raya, 4,545 restoran, 1,605 penjaja dan 1,283 kilang.

“Ia turut meliputi 3,131 bank, 512 pejabat kerajaan serta 949 terminal pengangkutan darat, 247 terminal pengangkutan air dan 81 terminal pengangkutan udara di seluruh negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata, seramai 25 pendatang asing tanpa izin dan seorang tekong ditahan dalam Op Benteng bagi kekang jenayah rentas sempadan dan penularan pandemik Covid-19.

Sebanyak 226 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam yang melibatkan pasukan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

Menyentuh isu kuarantin wajib, sejak 24 Julai sehingga 6 Disember lepas, seramai 83,164 warga Malaysia pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dari 35 negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 11,957 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan 509 individu dihantar ke hospital manakala 70,698 individu dibenarkan balik rumah,” katanya.

Beliau menambah, sejumlah 39 operasi sanitasi awam juga dilakukan meliputi 13 zon merah, tiga zon jingga, 11 zon kuning dan dua zon hijau di seluruh negara kecuali di Putrajaya.

Berhubung pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), sejumlah 15 tapak pembinaan di seluruh negara diperiksa dan kesemuanya mematuhi SOP ditetapkan.

Dalam pada itu, ujarnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat pemeriksaan di 654 premis meliputi 469 peruncit, 152 pemborong dan 33 pengilang.

“Pegawai penguat kuasa turut melakukan 724 pemeriksaan khas pematuhan SOP serta mereka mendapati semua premis itu juga mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: