Selasa, 8 Disember 2020

Kerajaan digesa tukar MyKad tangani pemalsuan

Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
MUKA depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 Disember lalu mengenai isu Mykad.

KUALA LUMPUR: Bimbang isu pemalsuan dan penyalahgunaan MyKad oleh sindiket dan pendatang a­sing tanpa izin (PATI) yang semakin kritikal, kerajaan terus digesa memperbaharui kad pengenalan warganegara dengan ciri-ciri ke­selamatan lebih canggih.

Ini kerana penukaran MyKad di­lihat sebagai jalan terakhir mena­ngani kegiatan pemalsuan MyKad sehingga menyukarkan pihak ber­­kuasa menjejak individu yang memegang MyKad sah atau tidak.

Penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Fizik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Izzah Mardhiya Mohd. Isa, 25, berkata, kerajaan perlu memperbaharui MyKad dengan memper­kenalkan aspek keselamatan lebih ketat melibatkan sistem biometrik yang disepadukan bersama cip atau hologram.

Bagaimanapun katanya, langkah itu tidak cukup jika kerajaan tidak menjalankan penilaian lebih terperinci dan telus dalam kala­ngan pegawai yang bertanggungjawab untuk mengambil data, memproses maklumat warganegara sehingga ke peringkat penghasilan kad pengenalan melihat kepada kejadian sebelum ini, terdapat pegawai kerajaan yang pecah amanah dalam kegiataan pemalsuan MyKad.

“Kerajaan patut meletakkan pegawai yang bekerja di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daerah secara bersilang di mana individu yang berasal di daerah tersebut bekerja di daerah lain.

“Wajib ada pelaksanaan sistem keselamatan dari peringkat bawah bagi mengelakkan kecemerkapan berlaku. Semakan profesionalisme terhadap cara setiap pegawai juga amat penting,” katanya ketika dihu­bungi Utusan Malaysia semalam.

Izzah yang berasal dari Semporna, Sabah, menyorot kes yang berlaku di daerahnya pada Julai tahun lalu apabila pegawai pendaftar JPN ditahan membabitkan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri di daerah itu.

Sindiket itu disyaki menjalankan kegiatan sejak awal tahun lalu dengan menawarkan perkhid­matan daftar sijil lahir dengan bayaran RM3,500 dan daftar kad pengenalan sebanyak RM6,000.

Bulan lalu, Utusan Malaysia melaporkan ratusan warga a­sing bolos dalam negara ini susulan kegiatan pemalsuan MyKad malah didakwa sudah beranak pinak sehingga menjangkau empat generasi. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: