Ahad, 2 Ogos 2020

TI-M rasa aneh Adun kerajaan Sabah boleh alih sokongan secara mengejut

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pertubuhan antirasuah Transparency International-Malaysia (TI-M) berkata, aneh untuk sebuah parti yang menguasai dua per tiga dewan undangan negeri kemudian menyaksikan sebahagian besar wakil rakyatnya mengalih sokongan kepada pembangkang secara tiba-tiba.

Presiden TI-M, Muhammad Mohan, berkata seperti yang berlaku di Sabah itu terjadi secara tiba-tiba.

"Bolehkah ini terjadi tanpa sebarang insentif?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pandangan TM-I itu hadir selepas beberapa Adun Sabah mendakwa mereka ditawarkan sejumlah wang dan jawatan untuk berpaling tadah bagi menjatuhkan kerajaan diketuai Warisan di negeri berkenaan.

Ia menyusul apabila bekas pengerusi Umno Sabah, Musa Aman, mendakwa memiliki sokongan majoriti daripada Adun negeri itu untuk membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal, sehari kemudian mengumumkan Yang Dipertua Negeri, Juhar Mahiruddin, bersetuju untuk membubarkan dewan undangan negeri untuk membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Antara Adun Sabah yang mengaku ditawarkan habuan untuk berpaling tadah daripada kerajaan Warisan ialah Dumi Pg Masdal. Kata Dumi dia dijanjikan bayaran RM5 juta untuk meninggalkan Warisan, dan RM20 juta untuk menjadi menteri Sabah.

Dalam kerajaan yang diketuai Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, Dumi merupakan pembantu menteri pembangunan luar bandar Sabah.

Kata Muhammad, ketika PRN Sabah semakin menghampiri kebimbangan seterusnyma ialah sama ada berlaku aktiviti membeli undi atau tidak dalam kalangan orang ramai.

"Kami tahu ini merupakan tugas sukar tetapi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mesti melakukan apa yang termampu bagi menghalang tindakan yang tidak boleh dimaafkan itu daripada berlaku.

"Rakyat pula tidak sepatutnya membiarkan ia terjadi kerana rasuah akan memusnahkan setiap inti pati demokrasi," katanya.

Muhammad juga menggesa agar semua anggota dewan undangan negeri (Adun) Sabah melaporkan sebarang cubaan merasuah mereka kepada SPRM walaupun bukti mengenainya sukar dikumpul.

Kata Muhammad perbuatan menawarkan rasuah juga merupakan suatu kesalahan mengikut undang-undang negara.

Menurutnya ada kewajiban berkanun untuk seseorang melaporkan perbuatan cubaan menawarkan rasuah tersebut kepada pihak berkuasa.

Apabila SPRM sudah mendapat maklumat berkaitan, kata Muhammad, agensi penguat kuasa antirasuah itu boleh memanggil pihak yang berkenaan untuk disoal siasat.

"Kepada beberapa wakil rakyat yang sudah membuat kenyataan terbuka bahawa ada tawaran dibuat, SPRM sepatutnya bertindak segera untuk menemu bual ahli politik terbabit dan memulakan siasatan," katanya.

Tiada ulasan: