Rabu, 5 Ogos 2020

Pulau Pinang henti guna sistem kesan kontak sendiri, beralih ke MySejahtera

Orang ramai beratur untuk mendaftar masuk ke pejabat pentadbiran Pulau
Pinang di Komtar.

GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan menghentikan penggunaan sistem pengesanan kontak Covid-19 negeri itu menjelang akhir bulan untuk memberi laluan kepada aplikasi MySejahtera yang diterima pakai kerajaan pusat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata negeri itu akan mematuhi keputusan Putrajaya, hanya butiran daftar masuk daripada aplikasi MySejahtera akan diterima.

“Kami tidak mahu penduduk Pulau Pinang terlibat masalah kerana tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejathera,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Chow berkata, sistem PGCare yang diperkenalkan sebelum MySejahtera, mencatatkan 16.48 juta daftar masuk daripada 36,521 tempat awam berdaftar sejak 15 Mei lalu.

Katanya, 1.35 juta pengguna sudah mendaftar dengan sistem itu setakat ini, angka baik memandangkan Pulau Pinang mempunyai 1.8 juta penduduk.

Chow bagaimanapun berharap Putrajaya akan memberi sedikit masa kepada penduduk Pulau Pinang untuk beralih kepada aplikasi MySejahtera.

Beliau juga menggesa perniagaan mendaftar dan mempamerkan kod QR baru di bawah sistem itu.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua syarikat telekomunikasi yang mengecualikan kos SMS untuk kod PIN yang dihantar kepada pendaftar pertama kali.

Ditanya mengenai pemberhentian PGCare walaupun kerajaan pusat membenarkan penggunaan aplikasi pengesanan kontak lain bersama MySejahtera, Chow berkata: “Lebih baik guna satu aplikasi saja.”

Katanya, kos untuk membangunkan sistem itu ialah RM36,000.

Tiada ulasan: