Rabu, 19 Ogos 2020

MBAS tutup 2 kedai warga asing

Zuliaty Zulkiffli
 
Anggota MBAS mengangkat barangan yang disita daripada kedai warga asing di Pokok Sena. Foto Zuliaty Zulkiffli

MAJLIS Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengesan terdapat beberapa pemilik premis di sekitar bandar raya itu menyewakan lot kedai mereka kepada warga asing.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa MBAS Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, warga asing yang menyewa premis berkenaan akan menjalankan perniagaan secara bersembunyi tanpa lesen untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, pelanggan yang ke kedai mereka biasanya dalam kalangan rakyat senegara mereka sendiri.

"Kita akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada lagi kes seperti itu.

"Semalam, kita menyerbu dua premis di kawasan Pokok Sena kerana tidak mempunyai lesen perniagaan dan ia disewakan kepada warga asing.

"Kami menyita barangan niaga mereka untuk tindakan lanjut ," katanya hari ini.

Ahmad Syaher berkata, dalam operasi pertama yang dijalankan Bahagian Penguat Kuasa MBAS dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah bermula 10 pagi itu, pihaknya memeriksa sebuah premis di tingkat atas sebuah bangunan dua tingkat.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua barangan dalam premis itu menjual produk dari Myanmar berikutan tulisan yang tertera pada setiap produk berkenaan.

"Selain itu, kita dapati kedai itu adalah milik rakyat tempatan namun menyewakannya kepada etnik Rohingya sejak dua tahun lalu dan dijaga seorang remaja negara berkenaan berusia 16 tahun.

"Kita percaya mereka menjalankan perniagaan secara bersembunyi dan hasil semakan rekod pada buku catatan pelanggan mendapati kebanyakan yang datang adalah rakyat dari negara mereka," katanya.

Ahmad Syaher berkata, berikutan itu pihaknya merampas kesemua barangan yang dijual di premis itu untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihaknya turut mengeluarkan kompaun dan notis memberhentikan perniagaan terhadap dua premis terbabit.

"Operasi bersepadu itu membabitkan kekuatan 20 anggota penguat kuasa MBAS bersama empat pegawai JIM Kedah," katanya.

Tiada ulasan: