HARAKAHDAILY
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md
Noor hari ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri
lambat bertindak dalam mengawal penularan COVID-19 di negeri itu.
Katanya
bidang kuasa kerajaan negeri berhubung pandemik itu adalah terhad dan
setiap isu berbangkit pula perlu melalui proses sebelum satu tindakan
dapat diambil oleh Kerajaan Pusat.
“Setiap maklumat daripada agensi dan jabatan kerajaan (di peringkat negeri) akan dibawa ke meja rundingan.
“….. Ini melibatkan semua pihak antaranya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihak berkuasa tempatan (PBT), ketua polis negeri dan pegawai-pegawai daerah untuk diperhalusi,” katanya dalam satu pesanan suara yang dihantar kepada pemberita di sini, semalam.
Muhammad Sanusi berkata selepas mengambil kira semua faktor dan
pandangan daripada pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang
masing-masing, kerajaan negeri akan mengesyorkan tindakan untuk diambil
oleh pihak yang berkenaan.
“Contohnya kuasa menutup sekolah
terletak di bawah Kementerian Pendidikan, jadi pengumuman (tutup
sekolah) hanya boleh dibuat oleh menteri kanan terbabit,” katanya.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons terhadap dakwaan netizen melalui media sosial bahawa kerajaan negeri Kedah lambat bertindak bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Sehingga kini, terdapat empat kluster COVID-19 di negeri berkenaan iaitu Sivagangga, Tawar, Muda dan Sala. – BERNAMA

Tiada ulasan:
Catat Ulasan