Rabu, 5 Ogos 2020

Kes Adib: Cadangan KDN buka semula inkues aneh, janggal

ainulillia


Mengapa KDN dulu tak mohon untuk lakukan semakan kehakiman?

BANGI – Peguam Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk membuka semula inkues anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai janggal dan aneh.

Mohamed Haniff berkata, ini kerana tindakan itu tidak memuaskan prinsip kedaulatan undang-undang atas beberapa alasan.

Katanya, tindakan Hamzah tidak selari dengan cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menubuhkan Pasukan Kajian Semula, bagi menyiasat kesemua aspek kes kematian Muhammad Adib.

Pada 10 Julai yang lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasukan itu akan melakukan siasatan yang tertumpu kepada saksi-saksi.

“Maka, bagaimanakah Hamzah Zainuddin boleh menyatakan kertas siasatan telah terus dimajukan oleh polis kepada pihak Peguam Negara pada 23 Julai iaitu 13 hari selepas cadangan IGP tersebut.

“Adakah satu pasukan siasatan khas telah pun ditubuhkan?,” soalnya dalam video yang disiarkan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Haniff berkata, kenyataan Hamzah adalah janggal kerana Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu sudah pun memutuskan punca kematian Muhammad Adib bukan disebabkan kemalangan tetapi perbuatan jenayah.

Beliau berkata, jika tidak dipersetujui oleh pihak polis atau pihak Kementerian Dalam Negeri pada ketika itu, mereka patut membuat permohonan untuk semakan kehakiman dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh tersebut.

Bagaimanapun, katanya, Menteri Dalam Negeri pada ketika itu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengambil tindakan untuk membuat rayuan terhadap pihak yang didapati terlibat dengan kes tersebut.

“Kenapa pula sekarang, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dari parti yang sama ingin pula mencadangkan agar dibuka semula satu lagi inkues koroner.

“Perkara ini cukup pelik, ganjil dan tidak selesa dari sudut perundangan dan tidak mematuhi keperluan prinsip perundangan,” katanya.

Justeru, beliau mengesyorkan agar Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dengan serta-merta mengeluarkan satu kenyataan rasmi yang lengkap dan menyeluruh berhubung isu siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.

“Memandangkan sudah hampir dua tahun berlalu sejak kematian Allahyarham Adib pada 17 November 2018 dan sudah hampir setahun berlalu sejak keputusan Mahkamah Inkues pada 27 September 2019.

“Namun kesemua pihak yang terbabit sama ada Kementerian Dalam Negeri, pihak polis dan pihak Pejabat Peguam Negara masih belum memuktamadkan isu ini,” katanya.

Semalam, kerajaan menjelaskan kertas siasatan kes kematian Muhammad Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Muhammad Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Hamzah ketika memperincikan perkembangan kes itu berkata, cadangan lain turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan jika mendapat persetujuan Peguam Negara.

Tiada ulasan: