Johor datang dengan pelbagai pakej - begitu jawapan Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay ketika ditanya mengenai cabaran memimpin pasukan keselamatan itu menjaga keamanan dan mengekang penularan pelbagai aktiviti jenayah di selatan tanah air.
Selain tugas hakiki untuk menangani isu jenayah, beberapa isu yang menjadikan Johor unik dari segi cabaran turut disentuh termasuk landskap geografi tersendiri berbanding negeri lain serta isu berkait rapat dengan hubungan dua hala dengan negara jiran.
"Di Johor, kita ada kawasan persisiran pantai yang luas, keseluruhan Pantai Timur dan Pantai Barat saya rasa kita ada kira-kira 530 kilometer. Apabila ada kawasan pantai yang luas, kita ada banyak isu.
"Isu penyeludupan manusia, penyeludupan barang-barang kontraban - rokok, arak dan sebagainya.
"Selain itu, kita juga bersempadan dengan Indonesia dan Singapura, jadi adalah isu-isu berkaitan bilateral (hubungan dua hala) yang melibatkan Johor dan dua negara berkenaan," kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Meskipun baru masuk bulan kelima beliau memegang jawatan itu, pelbagai pencapaian dicatatkan dengan yang terbesar ialah tumpasnya rantaian sindiket penyeludupan migran, Geng Otong, di perairan Timur Johor.
Ia sekali gus membawa kepada pendakwaan terbesar dalam sejarah iaitu 51 anggota sindiket pada 2 Julai lepas.
Ketika ditanya apa strategi menangani isu yang sememangnya berpuluh-puluh tahun sukar dipatahkan, Ayob Khan bukanlah orang yang suka mendabik dada.
Sebaliknya beliau mendedikasikan usaha dan kejayaan itu kepada seluruh anak buahnya terutama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Johor SAC Md Yusof Ahmad.
Rintis formula baru
"Saya mempunyai satu pasukan yang amat mantap. Saya boleh katakan 95 peratus pegawai dan anggota saya berdedikasi, komited, berintegriti dan memberi sokongan padu kepada semua misi dan arahan-arahan yang saya berikan.
"Satu contoh pegawai yang baik dan selalu saya jelaskan dan berkongsi dengan pihak media adalah SAC Md Yusof Ahmad.
"Beliau seorang yang berpengalaman dan dalam konteks menangani isu-isu jenayah dan migran ni, beliaulah penggerak utama dalam negeri Johor dan dengan kepakaran dan komitmen beliau dan pegawai serta anggota bawahan, kita banyak melancarkan operasi-operasi ke atas migran," kata ketua polis negeri berusia 54 tahun itu.
Tambahnya lagi, Polis Kontinjen Johor turut merintis formula baru dalam membanteras jenayah penyeludupan migran dengan memastikan siasatan ke atas keseluruhan rantaian sindiket menggunakan prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma yang kini turut diikuti negeri lain.
Anak kelahiran Pendang, Kedah itu, sememangnya wajah yang tidak asing lagi dan sering namanya meniti di bibir masyarakat terutama dengan ketegasannya dalam membasmi aktiviti jenayah dan yang lebih terserlah lagi bila menyentuh mengenai integriti kepolisan yang sangat dekat dengan hati beliau.
"Sebagai Ketua Polis Johor, dari hari pertama saya di Johor, saya sudah tegaskan isu integriti ini saya tidak akan bertolak ansur. Saya sudah cakap dari awal lagi, sebarang pelanggaran tatatertib, bersekongkol dengan elemen-elemen jenayah, saya akan tangkap.
"Saya tidak akan mengambil tindakan di bawah siasatan dalaman. Saya tidak akan serahkan kepada Jabatan Integriti dan (Pematuhan) Standard yang biasa dibuat. Saya akan tangkap. Kalau ambil rasuah, saya akan tangkap!" tegas beliau yang mula memimpin Kontinjen Johor sejak akhir Feb tahun ini.
Ini dibuktikan dengan penahanan 23 pegawai dan anggota penguat kuasa dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan migran di pantai timur Johor setakat 3 Julai lepas.
Aktiviti penyeludupan migran di Timur Johor iaitu merangkumi Daerah Mersing dan Kota Tinggi kini sudah 95 peratus berjaya dipatahkan.
Tumpuan beliau seterusnya ialah untuk memastikan usaha mengekang penyeludupan migran dapat dipatahkan di kawasan Pantai Barat Johor pula.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan