Khamis, 13 Ogos 2020

Isu Pati: Segelintir pihak dalam imigresen rosakkan imej agensi, kata Hamzah

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin hari ini mengakui bahawa cabaran untuk menyelesaikan masalah mengenai kemasukan haram ke negara ini antara lain adalah disebabkan segelintir pihak di Jabatan Imigresen yang memilih jalan yang merosakkan imej jabatan mereka sendiri.

Semasa berucap pada majlis penganugerahan perkhidmatan cemerlang jabatan itu hari ini, Hamzah berkata masalah itu dapat diselesaikan segera dengan bantuan pegawai yang ikhlas dan jujur di jabatan itu.

"Yang jadi masalah kita ialah (segelintir) kita lakukan secara 'jalan-jalan' yang boleh rosakkan imej kita, imej agensi kita, juga boleh rosakkan keadaan sosial ekonomi kita.

"Sebab itu tanggungjawab saudara-saudara adalah tanggungjawab yang besar.

"Sebab itu saya nak hadir hari ini, saya nak maklumkan, saya nak bersama Jabatan Imigresen nak menentukan isu pendatang tanpa izin (Pati) akan jadi satu-satunya isu yang boleh kita selesaikan dalam waktu secepat mungkin bersama-sama saudara yang ikhlas dan jujur di depan saya," katanya.

Hamzah juga mendedikasikan sebahagian ucapannya untuk memuji peranan pegawai imigresen dalam memerangi wabak Covid-19, dengan menyatakan bahawa jabatan itu sering diabaikan oleh orang ramai ketika menunjukkan penghargaan kepada barisan hadapan.

"Kadang-kadang orang tak sedar, salah satu jabatan yang sebenarnya dapat menentukan kejayaan untuk menangani masalah ini datangnya daripada banyak agensi dan agensi yang terutama sebenarnya salah satunya ialah Jabatan Imigresen sebagai petugas barisan depan.

"Banyak orang telah memberikan kata-kata yang baik tentang Kementerian Kesihatan, hospital, polis, agensi-agensi lain. Jarang sekali orang nak sebut nama Jabatan Imigresen.

"Yang kita nampak masalah saja (seperti) Jabatan Imigresen

tangkap pendatang tanpa izin di Malayan Mansion, tangkap beberapa orang melalui operasi di pasar borong," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas berucap, Hamzah mengatakan bahawa seramai 21,241 warga asing dihantar pulang antara 1 Januari dan 10 Ogos kerana melanggar undang-undang imigresen.

Tahun lalu, kira-kira 50,000 warga asing dihantar pulang.

Mengenai rancangan pemerintah untuk menukar menggantikan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kepada Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pengaduan Polis Bebas (IPCC), Hamzah mengatakan perlu untuk berlaku adil kepada polis.

"Saya akan menjawabnya di parlimen. Untuk memastikan bahawa semua dilayan dengan adil.

"Saya ingin memberikan kesaksamaan di hadapan undang-undang. Bukan hanya mengenai suruhanjaya itu, tetapi juga kepada semua anggota polis dan rakyat. Itu sangat penting di negara kita, iaitu memiliki kesaksamaan di hadapan undang-undang," katanya.

IPCMC dibentuk pada 2005 oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja yang diketuai oleh bekas ketua hakim Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Susulan itu, pentadbiran BN enggan melaksanakan cadangan tersebut kerana tunjuk perasaan dari polis.

Ia hanya dibentangkan di Parlimen pada bulan November 2019 oleh pentadbiran Pakatan Harapan, yang menginginkan suruhanjaya pemantau itu diletakkan di bawah bidang kuasa kementerian undang-undang.

Walau bagaimanapun, pentadbiran Perikatan Nasional yang kini mengambil alih kerajaan mahu RUU IPCC diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Tiada ulasan: