Isnin, 3 Ogos 2020

Hukuman berat ibu bapa tinggal anak dalam kenderaan – Zailah

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF13032020_Program-Edaran-Makanan-Percuma-PAS_08-681x454
Timbalan Menteri Wanita dan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan,
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius terhadap isu ibu bapa yang cuai dengan meninggalkan anak atau bayi mereka di dalam kenderaan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kementeriannya membuktikan keseriusan itu apabila meminda Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 bagi memasukkan perkataan ‘bertindak secara cuai’ dan membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada ibu bapa, penjaga yang cuai.

Katanya, pindaan berkenaan juga merangkumi hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan penganiayaan, pembuangan, pengabaian dan pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.

“Pindaan itu dibuat pada 2016 yang membolehkan mereka yang cuai, melakukan pengabaian, penderaan dan pembuangan bayi dikenakan hukuman lebih berat.

“Misalnya hukuman penjara dinaikkan daripada 10 kepada 20 tahun atau denda ditingkatkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 atau kedua-keduanya selain hukuman khidmat masyarakat sebagai hukuman mandatori,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Siti Zailah menjawab soalan Ahli Parlimen (Kota Samarahan-GPS), Rubiah Wang berhubung isu kematian kanak-kanak akibat tertinggal di dalam kereta oleh ibu bapa atau penjaga.

Terdahulu, Siti Zailah mengesahkan, mengikut perangkaan kementeriannya terdapat dua kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia setelah ditinggal di dalam kenderaan yang masing-masing berlaku sepanjang dua tahun lalu.

Sungguhpun bilangan kes itu adalah kecil, namun Siti Zailah menegaskan, kementeriannya tetap memandang serius kes kematian kanak-akan akibat ditinggalkan ibu bapa kerana ia boleh memberikan kesan besar kepada keluarga terbabit.

Katanya, berdasarkan rekod, kebanyakan kes kematian berlaku ketika ibu bapa meninggalkan anak mereka di dalam kereta untuk pergi bekerja atau menghadiri mesyuarat di luar.

Kecuaian itu berpunca akibat mereka terlupa anak mereka di ditinggalkan di dalam kereta, ujarnya.

“Selain daripada mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada kementerian juga menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu bapa dan keluarga kanak-kanak terbabit sebagai langkah intervensi.

“Kita juga memberikan kesedaran kepada ibu bapa mengenai pelbagai perkara termasuk risiko tertinggal dalam kereta, pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak ketika berada dalam kenderaan dan sebagainya,” Tambah beliau.

Katanya lagi, kementeriannya juga bekerjasama dengan agensi lain bagi menjalankan kempen pendidikan dan advokasi serta meningkatkan kesedaran awam mengenai isu ini kepada ibu bapa, penjaga dan masyarakat termasuk melalui kursus keselamatan keluarga, kursus pra perkahwinan, kursus ilmu kekeluargaan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: