Sabtu, 1 Ogos 2020

Henti tuntut Sabah elak hubungan dua hala terjejas, Musa beritahu Filipina

Muasa Aman berkata, rakyat Sabah tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang
tuntutan Filipina ke atas negeri itu.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman menggesa Filipina, termasuk menteri luarnya menghentikan tuntutan ke atas negeri itu demi kepentingan politik dalamannya yang akan menjejaskan hubungan dua hala.

Katanya, Sabah sebahagian daripada Malaysia dan ianya tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

Adun Sungai Sibuga itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Martin Idang dalam kes kerajaan Malaysia lawan Nurhina Kiram Fornan & Ors baru-baru ini memutuskan Sabah sebahagian daripada Malaysia dan negara lain tiada hak atau kuasa untuk mencampuri urusannya.

Beliau berkata, rakyat Sabah tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang tuntutan Filipina ke atas negeri itu.

“Sabah sebahagian daripada Malaysia dan akan terus menjadi sebahagian daripada negara berdaulat sejak negeri ini menyertai penubuhan Malaysia.

“Penduduk di Sabah memilih untuk kekal di negeri ini kerana ia berada di Malaysia.

“Kami menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi bersama Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Menteri Luar, Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, ia akan memanggil Duta Filipina ke Malaysia, Charles C Jose untuk menjelaskan catatan Setiausaha Luarnya, Teodoro Locsin Jr di Twitter yang mendakwa “Sabah is not in Malaysia”.

Katanya, kenyataan itu tidak bertanggungjawab yang akan menjejaskan hubungan dua hala kerana Sabah masih dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Susulan itu, Locsin menerusi catatan di Twitternya berkata “tiada negara boleh memberitahu apa yang ia boleh dan tidak boleh kata” dalam rekasi terhadap kenyataan rakan sejawatannya dari Malaysia.

Sementara itu, bekas menteri luar, Anifah Aman dalam kenyataan berasingan membidas Locsin atas dakwaannya Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

Katanya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan persekutuan pada 16 Sept 1963.

Beliau berkata, kenyataan Locsin itu menunjukkan kejahilannya mengenai sejarah dan undang-undang antarabangsa, serta memberi amaran ia akan menjejaskan hubungan dua hala.

“Sabah sebahagian daripada Malaysia dan akan kekal demikian. Jelas ini semata-mata langkah politik (Locsin) yang tidak relevan dan tidak penting.”

Tiada ulasan: