Ahad, 21 Jun 2020

Turunkan harga tarif elektrik, Najib beritahu Putrajaya

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, semakan semula tarif elektrik dijadualkan
pada Julai.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa kerajaan menurunkan harga tarif elektrik berikutan kejatuhan harga arang batu dan minyak.

Beliau berkata semakan semula tarif elektrik dijadualkan pada Julai ini , sekali gus berharap ia akan diturunkan.

Terdahulu Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan bahawa pengguna yang menggunakan lebih 300kWh bekalan elektrik sebulan berhak mendapat diskaun bulanan RM77 dalam bil mereka bagi tempoh April hingga Jun. Ini akan memberi manfaat kepada 3.6 juta pengguna.

Pengumuman itu dibuat berikutan bantahan orang ramai berhubung kenaikan mendadak caj elektrik sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Najib berkata, harga arang batu dan minyak jatuh sejak April 2019, tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak mengurangkan tarif elektrik.

Putrajaya mengumumkan akan menyemak semula harga tarif, tetapi tidak memberitahu sama ada ia akan dinaikkan atau sebaliknya.

Najib berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh membantu Tenaga Nasional Berhad (TNB) menstruktur semula pinjaman RM40 bilionnya dengan mengambil kesempatan ke atas kadar faedah lebih rendah dalam tempoh krisis Covid-19.

Dalam hantaran di Facebooknya, Najib berkata, satu lagi cara bagi membantu TNB mendapatkan dana ialah dengan menarik balik atau mengurangkan cukai penalti sebanyak RM3.98 bilion bagi tahun taksiran 2015 hingga 2017.

Pada November 2019, TNB dikenakan taksiran cukai tambahan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berikutan semakan ke atas pertikaian cukai melibatkan syarikat tenaga itu pada 2015.

Pada November 2015, kumpulan itu memaklumkan ia menerima notis bagi tahun taksiran 2013 dan 2014 untuk membayar cukai berjumlah RM2.07 bilion.

Tiada ulasan: