PETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau tiada halangan jika disiasat di bawah satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kerana didakwa melelong aset Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, beliau bersedia memberi bekerjasama bagi menjawab dakwaan yang dibuat Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.
“Saya sedia buat penjelasan. Saya mempunyai dokumen atas usaha yang dilakukan tanpa ada kepentingan atau campur tangan politik.
“Saya hanya mahu selematkan TH. Jual aset dengan selamatkan 2 perkara berbeza,” katanya dalam satu rakaman video di Facebooknya.
Sebelum ini, Asyraf mendedahkan surat pelucutan hak pembelian semula aset TH oleh bekas perdana menteri, Najib Razak yang dipercayai ditandatangani sendiri oleh pengarah urusan kumpulan merangkap ketua pegawai eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusof dan diluluskan beliau (Mujahid) selaku menteri agama di bawah PH.
Surat TH bertarikh 3 Disember 2019 mendedahkan Mujahid meluluskan pengecualian hak penolakan pertama bagi 18 aset hartanah TH yang dipindahkan kepada sebuah syarikat, Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).
Dalam pada itu, Mujahid yang juga naib presiden Amanah berkata, Asyraf juga boleh meminta penjelasan daripada menteri agama di bawah kerajaan Perikatan Nasional untuk mengetahui sama ada dakwaannya itu benar atau tidak.
“Adalah lebih baik minta menteri agama buat penjelasan mengenai dakwaan pada saya itu.
“Menteri Agama perlu jawab betul atau tidak secara jujur,” katanya.
Mujahid berkata, langkah yang dilakukannya sebelum ini hanyalah untuk menyelamatkan aset TH yang tenat dan melaksanakan pakej pemulihan menyeluruh..
Beliau juga mempersoalkan semasa Asyraf menjadi timbalan menteri agama dari Julai 2015 hingga Mei 2018, apakah ada tindakan yang diambil sedangkan keadaan defisit TH sudah mula membengkak.
“Jadi sebelum buat kenyataan pandang-pandang dulu.
“Di manakah kejujuran dia (Asyraf) ketika menjadi timbalan menteri agama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan