Selasa, 9 Jun 2020

Siasatan SPRM bermotifkan politik, kata pemimpin Warisan

Peter Anthony (tengah) muncul selepas 7 jam disoal siasat di pejabat SPRM di Kota
Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony mendakwa soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atasnya hari ini bermotifkan politik oleh parti lawan.

Naib presiden Warisan itu disoal siasat selama 7 jam di pejabat SPRM di sini sejak 10.30 pagi tadi.

Katanya, keterangan yang diberikannya berhubung dakwaan rasuah membabitkan pemberian beberapa projek konsesi jalan berjuta ringgit oleh kerajaan negeri terdahulu.

“Ia adalah keterangan biasa kepada SPRM, tiada kes dan bukan perkara besar. Saya tiada apa-apa untuk disembunyikan.

“Sebenarnya, konsesi jalan itu diberikan kerajaan terdahulu. Kontraktor dilantik tidak menunjukkan prestasi, jadi kami membangkitkan isu itu untuk penambahbaikan.

“Saya rasa (ia bermotifkan politik) kerana kita tidak bersama kerajaan persekutuan sekarang.”

Beliau berkata, rakyat Sabah akan kekal menyokong ketua menteri.

“Tiada apa yang boleh memisahkan kami dan saya percaya ini akan menjadikan kami lebih kuat.”

Tiada ulasan: