Tekong ambil bayaran sehingga RM3,000 bagi setiap warga asing
KUANTAN – Polis Pahang berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup manusia dengan penahanan 11 lelaki termasuk seorang warga Myanmar, disyaki tekong darat dalam serbuan di tiga daerah di negeri ini.
Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, suspek berusia antara 28 hingga 70 tahun itu ditahan pada Khamis lepas hasil risikan selama sebulan, menerusi Op Benteng pada Khamis lepas di Cameron Highlands, Lipis dan Temerloh.
“Siasatan awal mendapati mereka terlibat membawa masuk warga dari Indonesia, Nepal, Bangladesh dan Myanmar untuk bekerja sebagai pekerja ladang atau di kebun sayur memandangkan permintaan terhadap pekerja ini adalah tinggi.
“Setiap tekong darat dipercayai mengambil bayaran sekitar RM1,000 ke RM3,000 bagi setiap pekerja asing yang dibawa masuk dengan Cameron Highlands merekodkan permintaan paling tinggi terhadap pekerja asing tanpa izin ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.
Abd Jalil berkata, semua suspek kini ditahan sehingga 3 Julai ini mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Pada perkembangan lain, Abd Jalil berkata, polis menahan sepasang kekasih berusia 33 dan 39 tahun di sebuah apartmen di Cameron Highlands pada Khamis lepas, bersama dadah jenis heroin dianggarkan seberat lebih 4.4 kilogram bernilai RM40,645 disyaki untuk tujuan pengedaran.
“Suspek lelaki yang bekerja sebagai pemandu teksi dipercayai menggunakan kenderaan itu untuk mengedar di sekitar Cameron Highlands, Raub dan Lipis sejak enam bulan lepas. Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah,” katanya.
Abd Jalil berkata, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah direman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit sabit kesalahan. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan