KUALA LUMPUR: Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) secara rasminya membatalkan temasya Sukan Para Asean 2020 di Filipina pada Oktober ini berikutan pandemik Covid-19 dan akan memberi tumpuan kepada penganjuran edisi 2021 di Vietnam.
Keputusan itu dicapai selepas APSF mengadakan mesyuarat Lembaga Pengelola menerusi persidangan video pada Jumaat lalu yang dipengerusikan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Filipina, Michael Barredo dan disertai semua 10 presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan anggota Asean yang lain.
“Majlis Pengelola menyokong pembatalan itu selepas menerima surat rasmi yang mengesahkan mengenai perkara itu daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) bertarikh 8 Jun 2020,” kata Presiden APSF, Osoth Bhavilai dalam kenyataan semalam.
Katanya, surat yang ditandatangani Setiausaha Lembaga Suruhanjaya Sukan Filipina, IV Julia C Llanto, yang meluluskan secara rasmi pembatalan edisi ke-10 temasya sukan untuk atlet kelainan upaya rantau ini bagi melindungi dan menjaga keselamatan atlet serta jurulatih dari dalam dan luar negara, termasuk tenaga kerja, peserta serta tetamu, di samping membantu kerajaan Filipina membendung penularan Covid-19.
Bhavilai berkata, lembaga berkenaan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Filipina dan jawatankuasa penganjur (PHILAPGOC) di atas segala usaha menganjurkan temasya sukan berkenaan, termasuk penyediaan sekretariat, dana, venue, logistik, tenaga kerja dan lain-lain keperluan teknikal.
Beliau berkata, fokus utama sekarang ialah memastikan kelancaran Sukan Para Asean ke-11 di Hanoi, Vietnam pada Disember 2021 dengan melakukan persiapan dan koordinasi awal.
Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan Para Asean buat kali kedua selepas menjadi tuan rumah edisi kedua temasya sukan itu 18 tahun lepas pada 2003, dengan hanya 5 acara dipertandingkan ketika itu.
Bhavilai, yang juga setiausaha agung Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Thailand, berkata Lembaga Pengelola APSF akan mengadakan mesyuarat awal pada Disember ini untuk membincang dan menyelaras penganjuran edisi 2021 bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Vietnam serta pihak berkepentingan lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan