KUALA LUMPUR: Polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat memburu pengendali akaun yang mempromosi perkhidmatan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini di laman sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, salah seorang pengendali akaun itu ditahan dalam Op Covid-19 Benteng, pada 4 hingga 7 Jun lepas.
“Polis masih lagi mengesan individu lain dipercayai pengendali laman sosial yang mempromosi perkhidmatan membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini,” katanya hari ini.
Huzir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendakwa terdapat sindiket mempromosi perkhidmatan membawa pendatang tanpa izin ke negara ini menerusi Facebook.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya turut memantau kegiatan berkenaan dengan melakukan perkongsian maklumat antara agensi.
“Polis dan Imigresen masing-masing berkongsi maklumat berhubung isu ini, malah kami sentiasa memantau isu yang dibangkitkan dalam laman social, termasuk aktiviti membawa masuk pendatang tanpa izin,” katanya.
Akhbar tempatan hari ini melaporkan sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM1,600 hingga RM3,000 untuk membawa masuk seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia ke negara ini.
Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak 1 Mei hingga semalam, 977 pendatang tanpa izin dan 161 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram, terutama melalui lorong tikus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan