Ahad, 21 Jun 2020

Industri gaharu berpotensi dikembangkan di peringkat hiliran

Bernama
2bf3e5dae0346f69fe69d34651ee028f5eeeeeb35aeab-681x426
Industri gaharu berpotensi dikembangkan di peringkat hiliran kerana belum ramai usahawan yang terbabit dalam sektor ini terutamanya dalam pembuatan minyak wangi.

JELI – Industri gaharu berpotensi dikembangkan di peringkat hiliran kerana belum ramai usahawan yang terbabit dalam sektor ini terutamanya dalam pembuatan minyak wangi, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata industri tersebut mempunyai potensi yang luas memandangkan ia kurang diceburi di negara ini walaupun Asia Tenggara terkenal dengan penghasilan minyak pati gaharu yang terkenal dalam pembuatan minyak wangi di Timur Tengah.

“Sehingga Dis 2019, sebanyak 217 syarikat dan individu telah berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas (dalam menghasilkan gaharu) berkeluasan 2,398 hektar dengan jumlah pokok sebanyak 2.3 juta.

“Jumlah pengeksport dan pengimport gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat dan sebanyak 22 syarikat serta individu adalah pengilang manakala lebih 50 syarikat pengusaha produk gaharu dikenal pasti di seluruh Malaysia,” kata Mohd Khairuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam lawatan kerja sulungnya ke Kelantan ketika meninjau penghasilan minyak pati gaharu di Syarikat Oud Agarwood Enterprise di Kampung Bukit Tok Ali, Kuala Balah di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Oud Agarwood Mohd Ruslan Osman.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata tahun lepas, jumlah eksport bagi industri berkenaan bernilai RM8.8 juta dan masih sederhana berbanding nilai berbilion ringgit di pasaran global memandangkan ia merupakan antara ramuan popular dalam penghasilan minyak wangi.

Justeru, katanya, beliau akan memohon sejumlah peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi membantu industri gaharu berkembang di peringkat perladangan dan hiliran.

“MTIB mempunyai satu unit khusus bagi melatih mana-mana pihak yang berminat dalam pemprosesan gaharu dan usahawan juga boleh dilatih untuk menghasilkan minyak wangi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ruslan berkata keluarganya memulakan perniagaan tersebut pada 2012 dan beliau merupakan generasi kedua yang menghasilkan minyak pati gaharu untuk pasaran antarabangsa.

“Lima tan kayu karas boleh menghasilkan kira-kira tiga liter pati minyak gaharu dan harga purata 1 kilogram minyak pati gaharu antara RM20,000 hingga RM30,000 bergantung kepada kualiti dan gred.

“Pada tahun lepas, syarikat ini mengasilkan kira-kira 20 kilogram minyak pati gaharu selain turut menghasilkan ‘ bakhor’ dan colok wangian,” katanya.- BERNAMA

Tiada ulasan: