KUALA LUMPUR – Pelan pembangunan di Kampung Baru tidak akan direalisasikan dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS).
Setiausaha Kehormat MAS, Shamsuri Suradi berkata, meskipun pelbagai perancangan termasuk pengambil alihan diatur untuk Kampung Baru sejak tahun lalu namun ia tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan.
Menurutnya, pentadbiran kerajaan ketika ini turut ada menyatakan tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk menjalankan pembangunan di kampung tradisi Melayu itu.
“Dalam pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Tan Sri Annuar Musa menyatakan kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi (untuk pembangunan Kampung Baru).
“Malah pihak MAS sendiri diberitahu, ada perbezaan fakta dalam perkara yang dinyata kerajaan dahulu dengan maklumat yang diperoleh kerajaan sekarang seperti sokongan penduduk Kampung Baru terhadap pembangunan sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pelan Pembangunan Kampung Baru yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya dapat dimuktamadkan pada bulan ini sekiranya mengikut jadual.
Pembangunan itu akan merubah landskap Kampung Baru menjadi kampung melayu moden yang akan menerapkan ciri-ciri dan simbol kekuatan orang Melayu sekaligus menjadi ikon di tengah ibu kota.
Ketika ditanya sekiranya ada pihak yang ingin menawarkan pembangunan terbaharu di Kampung Baru, Shamsuri berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada sebarang perbincangan namun ia perlu dilaksanakan membabitkan semua peringkat pemilik tanah.
“Kami tidak menolak sebarang pembangunan tetapi adakah ia boleh dilakukan sekiranya mahu mengambil alih setiap tanah di sini. Setiap lot tanah di sini sekurang-kurangnya mempunyai minimun 40 ke 50 orang waris.
“Oleh demikian pihak MAS merasakan pembangunan yang dilakukan di sini perlulah dilakukan secara berperingkat dan perancangan yang dilakukan harus sempurna dengan pembabitan semua waris,” ujarnya.
Shamsuri berkata, penduduk Kampung Baru juga tidak perlu ditawarkan dengan kaedah meragukan seperti pemberian separuh tunai, separuh saham sekiranya pembangunan itu benar-benar memberi manfaat kepada penduduk.
Mengulas mengenai isu peranan MAS yang tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi pentadbiran tanah serta perancangan serta pengurusan Kampung Baru, Shamsuri berkata, ia adalah tidak tepat kerana lembaga ini adalah satu organisasi yang memayungi penduduk kampung tradisi ini.
“MAS bersama Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menjalankan hubungan yang baik dalam menangani isu bersama di Kampung Baru.
“MAS adalah co-partner untuk mencapai hasrat kerajaan kepada pemilik tanah dan penduduk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan