Sabtu, 13 Jun 2020

259 penuntut USM mula pengajian

azrulhakimie 


Mereka memasuki kampus secara berperingkat bermula Rabu

KOTA BHARU – Seramai 259 penuntut tahun akhir Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kota Bharu, akan memulakan pengajian seperti biasa bermula 1 Julai ini selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, mereka mula memasuki kampus secara berperingkat bermula Rabu lalu, membabitkan penuntut tahun akhir Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG).

Katanya, sebelum kembali ke kampus, mereka dikehendaki mengisi Borang Deklarasi Risiko COVID-19 Warga Kampus Kesihatan USM secara dalam talian melalui URL https://bit.ly/crrsusmkk3 dan menghantar tangkapan skrin aplikasi MySejahtera bagi penentuan status zon lokasi tempat tinggal mereka.

“Surat kebenaran untuk kembali ke kampus pula akan dikeluarkan oleh pusat pengajian masing-masing kepada penuntut yang layak dan disahkan tidak berisiko.

“Bagi mereka yang mengalami gejala atau risiko kontak, mereka perlu menghubungi ‘hotline’ 09-7673519 untuk mendapatkan maklum balas dari Klinik Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan mereka perlu menangguhkan perjalanan serta mendapatkan pemeriksaan atau rawatan di klinik kesihatan berhampiran tempat tinggal masing-masing.

“Selepas mendapatkan rawatan, mereka perlu mengisi semula Borang Deklarasi dan menghantar borang berkenaan berserta surat kebenaran, pengesahan tamat tempoh kuarantin 14 hari dan keputusan siasatan Covid-19, sekiranya ada,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Ahmad Sukari berkata, pada masa sama, kemasukan penuntut ke kampus juga perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan termasuk ahli keluarga atau pengiring yang datang menghantar mereka ke kampus.

“Setelah tiba di kampus, mereka perlu melepasi saringan suhu badan di pintu masuk dan sekiranya mereka melepasi saringan ini, penuntut diminta untuk terus melapor diri di Pejabat Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) bagi tujuan pengesahan kembali ke kampus.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak melepasi saringan suhu badan, mereka akan dirujuk ke ‘Severe Respiratory Illness’ – Klinik Rawatan Keluarga (SRI-KRK) HUSM,” katanya.

Beliau berkata, penuntut dari zon hijau dan tidak bergejala atau berisiko akan dibenarkan masuk ke bilik masing-masing, namun bagi mereka yang datang dari zon merah tetapi tidak bergejala atau berisiko akan ditempatkan di zon kuarantin.

“Bagi penuntut yang bergejala atau berisiko, mereka akan terus dirujuk ke Klinik SRI-KRK dan hasil pemeriksaan yang dijalankan akan menentukan sama ada mereka dibenarkan masuk ke bilik masing-masing atau dikuarantin atau perlu ditempatkan di zon isolasi untuk tindakan susulan,” katanya.

Tiada ulasan: