Sabtu, 13 Jun 2020

PH paling teruk perintah negara, DAP masih berangan nak jadi kerajaan

fazleensafina


Orang Melayu takkan lupa pelbagai peristiwa yang mengguris hati

BANGI – Jika tampuk pemerintahan negara diserahkan kepada Pakatan Harapan (PH) sekalipun, apakah jaminan kerajaan tidak bergolak akibat persengketaan dalaman,” soal Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikian merujuk gesaan pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham yang mahukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kerajaan secara terhormat kepada PH Plus, selepas gabungan itu mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Beruas itu berkata, Muhyiddin tidak harus memohon pembubaran Dewan Rakyat kerana ia dapat menjimatkan RM100 juta wang rakyat untuk pembayaran pencen kepada anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN).

“Ia dilaporkan bahawa Muhyiddin dalam keadaan terdesak ini mungkin akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat dan meminta diadakan pemilihan baru.

“Saya menyeru kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menyerahkan dengan terhormat pemerintahan kerajaan kepada PH Plus boleh membuktikan bahawa mereka sudah mempunyai majoriti Ahli Parlimen yang berpihak kepada mereka,” kata Koo Ham seperti dilapor Suara Merdeka.

Haji Aminuddin berkata, terdapat pelbagai konflik yang timbul dalam PH ketika menjadi kerajaan, malah masih ada lagi yang belum selesai sehingga kini.

Konflik berkenaan termasuk perang dingin antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih belum berakhir.

“Malah, kita juga saksikan siri-siri serangan pemimpin DAP kepada Tun Mahathir itu sendiri juga cukup dahsyat.

“Maka, apa jaminan mereka bahawa kerajaan PH Plus ini sebuah kerajaan yang stabil? Rakyat sekarang ini memang selesa dengan kestabilan kerajaan kini yang kurang berpolitik dan banyak kerja walaupun tidak sempurna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Meskipun bersetuju dengan kenyataan Ngeh Koo Ham bahawa, pembubaran Parlimen dan melaksanakan pilihan raya dalam terdekat memakan kos perbelanjaan yang tinggi, namun, Haji Aminuddin berkata, terdapat banyak kerosakan dilakukan PH ketika mendapat mandat untuk memerintah negara selama 22 bulan sebelum ini.

“Tidakkah Ngeh lupa betapa teruknya pemerintahan negara sewaktu zaman Pakatan Harapan dahulu, di mana menteri-menteri tidak kompeten, polisi-polisi yang ‘flip-flop, pergolakan dalaman dan banyak lagi masalah lain, yang akhirnya menyebabkan para pelabur banyak yang lari dan negara terpaksa menanggung kerugian yang sangat besar.

“Malah, jumlah hutang negara semakin meningkat walaupun rakyat saban hari diminta untuk mengikat perut dan diherdik-herdik sahaja. Orang Melayu jangan lupa yang mereka diberikan pelbagai gelaran yang mengguriskan hati kita,” katanya.

Pada masa sama, Haji Aminuddin menegaskan, PH perlu menerima hakikat bahawa zaman pemerintahan mereka telah musnah dan perlu menjadi pembangkang sehingga tiba Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekiranya gabungan parti itu benar-benar memikirkan kos pilihanraya dan keselamatan rakyat yang terpaksa keluar mengundi.

“Tidak lama pun (menjadi pembangkang), mungkin dalam dua tahun sahaja lagi. Tetapi, jika PH teruskan sahaja dengan agenda rakus jual beli Ahli Parlimen seperti jual ikan dan PN juga membuat perkara yang sama untuk merampas kembali kuasa, maka sampai bila-bila tidak akan selesai.

“Inilah justifikasi paling kuat untuk membubarkan parlimen kerana kestabilan sudah tidak dapat dicapai lagi.

“Kita harap agar rakyat cakna akan perkembangan politik hari ini dan bersedialah akan apa sahaja kemungkinan sekalipun. Yang penting, pantaulah tindak-tanduk wakil rakyat masing-masing dan buatlah penilaian sewajarnya,” katanya.

Tiada ulasan: