Sabtu, 13 Jun 2020

Harga sawit melonjak dirangsang permintaan India, China, Pakistan

BERITA HARIAN
Gambar fail: Kilang Kelapa Sawit Tanah Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN





Gambar fail: Kilang Kelapa Sawit Tanah Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN

Kontrak hadapan minyak sawit untuk Ogos meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada RM2,381 satu tan, sebelum didagangkan pada RM2,378 pada waktu rehat tengah hari.

Import China dari Malaysia sebagai pengeluar kedua terbesar komoditi itu, meningkat sekitar 74 peratus berbanding bulan sebelumnya dalam tempoh 10 hari pertama bulan Jun, sementara itu pembelian India melonjak 163 peratus dan penghantaran ke Pakistan melonjak 250 peratus, menurut syarikat juru ukur kargo SGS Malaysia Sdn Bhd.

Jumlah eksport Malaysia meningkat hampir 64 peratus dalam tempoh berkenaan, katanya.

Angka itu selaras dengan laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia pada Rabu yang menunjukkan simpanan minyak sawit di negara ini turun untuk pertama kalinya dalam empat bulan menjadi 2.03 juta tan bulan lalu daripada 2.04 juta tan pada bulan April.

Minyak masakan yang paling banyak digunakan di dunia itu berada dalam aliran kenaikan untuk minggu kelima, yang juga paling tinggi dalam tujuh bulan.

Prospek permintaan telah bertambah cerah ketika beberapa negara melonggarkan langkah kawalan pergerakan, sementara sekolah dan restoran dibuka semula secara beransur-ansur.

Kenaikan harga minyak sawit juga disokong oleh pemulihan harga minyak mentah, yang meningkatkan daya tarikan biofuel. - Bloomberg

Tiada ulasan: