Ahad, 10 Mei 2020

Usul undi percaya Tun M bercanggah Perlembagaan: Zainul Rijal

fazleensafina

 

Kerajaan dahulu pernah tewas dalam Parlimen, kenapa tak letak jawatan?

BANGI– Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM) membidas kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Aziz Bari yang mempertikaikan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ariff Md Yusof menolak usul undi percaya terhadap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu jelas bertentangan dengan Perlembagaaan Persekutuan, yakni membabitkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong.

“Ia berdasarkan hujahan beliau (Shafie) yang mengatakan jika kerajaan ditewaskan dalan Parlimen berhubung dasar utama, maka ia mesti meletakkan jawatan.

“Tuan puan masih ingat kerajaan dahulu (Pakatan Harapan) pernah tewas dalam Parlimen berhubung dasar utama iaitu pindaan kepada Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan, kenapa kerajaan tersebut tidak meletak jawatan? “ soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal menegaskan bahawa keputusan Speaker Dewan Rakyat adalah muktamad.

“Hari ini juga dilaporkan Speaker menerima usul Ahli Parlimen Langkawi mengenai usul tak percaya ke atas Perdana Menteri. Bagi saya juga keputusan ini adalah muktamad,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Aziz Bari menyifatkan keputusan Ariff menolak usul Shafie dalam memulakan usul undi percaya terhadap Dr Mahathir adalah mengelirukan dan mengejutkan.

Mengulas mengenai peruntukan yang dipetik oleh Ariff semasa menolak usul tersebut, Aziz yang juga pakar perundangan berkata, meskipun Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut mengenai usul undi percaya, tetapi peruntukan itu secara jelas membenarkan usul itu dibentangkan di Parlimen.

“Bila? Bila-bila masa. Sebenarnya hal ini biasanya difahami di dalam sistem Westminster, bahawa jika kerajaan ditewaskan dalam Parlimen berhubung dasar-dasar utama seperti ketika (pembentangan) belanjawan atau langkah-langkah berkaitan COVID-19, maka ia (pemerintah) mesti meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau berkata, Yang Di-Pertuan Agong berkuasa untuk melantik Perdana Menteri dan Parlimen boleh menyaksikan sama ada terdapat sokongan minimum atas pelantikan itu atau tidak.

Semalam, Ariff menolak usul Shafie untuk memulakan usul undi percaya terhadap Dr Mahathir.

Ariff berkata, berdasarkan penjelasan yang dinyatakan dalam usul tersebut, beliau mendapati ia adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka dalam urusan pelantikan jawatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun menurut Aziz, Seri Paduka adalah raja berperlembagaan dan istilah “budi bicara” (discretion) yang digunakan dalam Perkara 43 (2)(a) perlu difahami dalam konteks Perlembagaan.


Tiada ulasan: