MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) mewajibkan semua penyewa dan pekerja di semua pasar awam di bawah pengurusannya untuk menjalani saringan Covid-19.
Ia sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan wabak itu tidak merebak terutama dalam kalangan pekerja warga asing.
Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan keselamatan pelanggan yang berkunjung ke pasar awam berkenaan.
"Proses saringan pertama membabitkan semua penyewa dan pekerja Pasar Awam MPS Selayang Baru pada 8 Mei lalu merangkumi 421 individu di Dewan Seroja, Kampung Bendahara.
"Saringan yang bermula jam 9 pagi dan hingga 12 tengah hari itu mendapat kerjasama penuh dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak.
"Proses saringan ini akan diteruskan kepada semua penyewa dan pekerja pasar awam MPS yang lain sepanjang minggu ini," katanya dalam kenyataan di Gombak, hari ini.
Mohamad Zin berkata, selain itu, seramai 400 individu dijangka akan menjalani ujian saringan di Pasar Awam Moden MPS Rawang di Dewan MPS Batu 17 Rawang pada 13 Mei ini.
"Seramai 130 individu di Pasar Awam Moden MPS Sri Gombak dan 30 individu di Pasar Awam MPS Taman Ehsan akan menjalani ujian saringan di Dewan Beringin, Seri Gombak pada 15 Mei ini.
"Bagi 200 individu di Pasar Awam MPS Bandar Country Homes dan 60 individu di Pasar Awam MPS Batu Arang akan menjalani ujian saringan di Dewan Bandar Baru Kundang ," katanya.
Beliau berkata, selain proses saringan wajib, pihaknya juga melaksanakan kerja disinfeksi di bangunan pasar secara berkala sejak PKP fasa satu bagi memastikan kebersihan tapak di pasar.
"Semua peniaga juga sudah diarahkan untuk melakukan pembersihan di petak masing-masing menggunakan bahan pencuci bercampur cecair nyah kuman dengan nisbah 1:9 setiap kali selesai operasi perniagaan.
"Anggota MPS juga sudah melaksanakan kawalan di setiap pasar awam dengan menempatkan kakitangan bertugas untuk pengambilan suhu badan penyewa dan pengunjung selain memastikan mereka mencuci tangan sebelum dibenarkan untuk melakukan aktiviti jual beli sebagai langkah keselamatan pengunjung.
"MPS juga hanya membuka satu akses kepada pengunjung dan melekatkan penanda di atas lantai untuk panduan jarak sosial selain mengawal jumlah pengunjung bagi mengelakkan kesesakan terutama pada waktu puncak," katanya.
Katanya, MPS berharap pelaksanaan tindakan itu dapat membantu usaha kerajaan membendung Covid-19.
"Kami menyeru masyarakat supaya mematuhi sepenuhnya arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan mengikuti peraturan ketika berkunjung di pasar awam MPS terutama dari segi jarak sosial dan kebersihan.
"Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Khas MPS yang beroperasi pada Isnin hingga Jumaat, antara 8 pagi hingga 5 petang di talian 03-61389898 atau talian bebas tol 1800-222-677.
"Selain itu, mereka boleh merujuk laman sosial MPS untuk sebarang pengumuman terkini berkaitan MPS, pertanyaan atau aduan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan