Jumlah jemaah termasuk imam, khatib tak lebih 12 orang
KANGAR
– Sebagai langkah permulaan untuk membolehkan ‘Syiar Jumaat’ dihidupkan
kembali, Perlis membenarkan Solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini.
Peraturan yang ditetapkan ialah jumlah
jemaah termasuk imam/khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang
dari tiga orang dengan hanya pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid
yang dibenarkan.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu dalam kenyataan,
hari ini, menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Menurutnya, Raja Muda Perlis Tuanku Syed
Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah
kebenaran itu tidak dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan
ancaman penularan wabak COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya.
“Masjid tidak boleh dibuka kepada orang
ramai sebaliknya mereka yang dibenarkan menunaikan Solat Jumaat ialah
pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa masjid sahaja. Jemaah perlu membuat
pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekod kehadiran di buku
kedatangan.
“Mereka yang berumur 60 tahun ke atas
tidak dibenarkan hadir, selain mereka yang mempunyai gejala seperti
demam, sesak nafas, sakit tekak, selesema serta mempunyai sejarah
kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit
barah juga tidak dibenarkan,” titah baginda, menurut kenyataan itu.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, mereka
yang hadir juga perlu memakai penutup hidung dan mulut dan melaksanakan
jarakan sosial sekurang-kurangnya pada jarak dua meter ketika solat.
Selain itu, jemaah juga perlu berwuduk
sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri, selain solat
diutamakan di tempat terbuka seperti di anjung masjid.
Baginda bertitah, tempoh bermula azan
hingga selesai Solat Jumaat hanya 15 minit dan kontak fizikal seperti
berjabat tangan tidak dibenarkan sama ada sebelum atau selepas solat dan
semua jemaah perlu beredar dari masjid selepas selesai solat.
Pengerusi masjid dipertanggungjawab
memastikan semua syarat dipatuhi dan kegagalan untuk mematuhi semua
syarat-syarat akan menyebabkan masjid berkenaan tidak dibenarkan untuk
mengadakan Solat Jumaat.
MAIPs mengeluarkan peraturan itu setelah
mengambil kira pandangan Jabatan Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa
Muzakarah Khas Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Kementerian
Kesihatan. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan