Dunia berperang COVID-19, ahli politik Malaysia pula sibuk catur kuasa
BANGI
– Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menghadapi ujian
untuk mendapat keyakinan Ahli Parlimen negara ini, sekiranya usul undi
tidak percaya dikemukakan Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya sampai ke
peringkat undian.
Pakar Perlembagaan yang juga Felo
Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof
bagaimanapun berkata, sekiranya usul berkenaan gagal ke peringkat
undian, maka terbukti bahawa Muhyiddin sememangnya mendapat keyakinan
majoriti anggota Dewan Rakyat.
“Ini sekali gus menunjukkan kerajaan PH
(Pakatan Harapan) dahulu sememangnya telah hilang sokongan majoriti,”
katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri
Mohamad Ariff Mohd Yusof memaklumkan menerima usul undi tidak percaya
terhadap Muhyiddin.
Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas
Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir pada 4 Mei
lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan
Mesyuarat 27(3).
Mohamad Ariff menyatakan demikian bagi
membalas notis terdahulu yang dikemukakan oleh Dr Mahathir, mengikut
Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat
27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat
ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli
Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat
Dewan Rakyat,” katanya
Mengulas mengenai perkara itu, Muhammad
Fathi berkata, Muhyiddin disarankan untuk menasihati Yang Di-Pertuan
Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya
Umum ke-15 (PRU-15), sekiranya usul undi berkenaan tidak memihak
kepadanya.
Pada masa sama, katanya, Muhyiddin turut
mempunyai pilihan untuk meletakkan jawatan bagi memberi ruang kepada
Yang Agong melantik Perdana Menteri baharu.
“Soalnya siapa PM baharu yang nak dicadangkan oleh PH? Tun Dr. M atau DS Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim)?
“Adakah sudah ada konsensus? Jika belum ada, episode percaturan politik yang berlaku beberapa bulan lepas akan kembali berulang.
“Negara dan dunia sedang berperang dengan
COVID-19, orang politik Malaysia sibuk mencatur kuasa. Bersediakah
Malaysia untuk PRU dalam masa terdekat ini?” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan