Ahad, 3 Mei 2020

Sidang Parlimen wajar kekal sehari saja - Takiyuddin

PUTRAJAYA: Sidang Parlimen wajar dikekalkan sehari saja iaitu pada 18 Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ia mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan ketika ini dalam rangka mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Kerajaan mengambil maklum pandangan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung tempoh persidangan Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 18 Mei ini.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan juga bersetuju mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang berkaitan penularan wabak COVID-19 dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang iaitu pada Julai depan.

"Namun, mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan pada masa ini dalam rangka mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung hanya satu hari sahaja pada 18 Mei 2020 wajar dikekalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu susunan kedudukan Ahli-Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat juga akan diubah suai untuk mengamalkan penjarakan sosial bagi menjamin semua ahli Dewan dapat mengambil bahagian dalam ruang lingkup prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Berikutan kesan yang dialami oleh rakyat perseorangan, peniaga dan juga syarikat susulan penularan wabak COVID-19, Kerajaan bersetuju mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang yang berkaitan bagi dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang iaitu pada Julai 2020.

Tiada ulasan: