DI BULAN Ramadan yang mulia ini, ketika negara dan dunia masih dibelenggu wabak COVID-19, saya bersetuju dengan pendapat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa rakyat sudah muak dan tidak mahu dengar lagi mengenai soal politik. Kerana perihal kesihatan rakyat dan ekonomi negara adalah keutamaan pada waktu sekarang. Justeru mana-mana pihak yang masih beretorik politik di kala negara sedang dalam proses pemulihan, adalah kelompok yang amat tidak bertanggungjawab serta menangguk di air yang keruh.
Namun oleh kerana masih ada pihak tertentu yang terus menjadi batu api, menyemarakkan lagi perpecahan sesama rakyat khususnya orang Melayu-Islam di negara ini, maka ia memaksa insan kerdil seperti saya ini untuk bersuara jua bagi menjawab serta melontarkan kembali beberapa pertanyaan untuk kita sama-sama fikirkan. Hakikatnya Kerajaan Malaysia hari ini tidak terjadi secara tiba-tiba. Ia bertitik tolak dari perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri dan juga selaku Pengerusi Parti BERSATU tanpa dipaksa pada 24 Februari 2020.
Bukan lagi rahsia selama Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua itu, beliau sering diasak oleh beberapa pemimpin dan penyokong dari parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) agar menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang telah diuar-uarkan sebagai ‘Perdana Menteri Sedang Menunggu’ atau ‘PM8’. Rakyat tidak lupa bagaimana kerapnya DSAI menemui Tun di Pejabat Perdana Menteri bersulamkan agenda selain dari peralihan kuasa. Ia memberi isyarat bahawa DSAI tidak mahu dirinya diketepikan di luar Kabinet sungguhpun isterinya menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Seolah-olah segala kekurangan Kerajaan PH ketika itu adalah berpunca dari kepimpinan Parti BERSATU. Itu belum lagi diambil kira kelemahan pihak PH dalam menangani sentimen dan persepsi rakyat. Sebagai contoh kenyataan awal berbaur anti-Islam oleh EXCO Kerajaan Selangor dari DAP Ganabatirau Veraman dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya yang berakhir dengan pembunuhan seorang anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di tempat kejadian. Malah kenyataan bebal Menteri Perpaduan ketika itu, Waytha Moorthy yang memperlekeh tindakan polis mengawal keadaan telah menyebabkan penganut Hindu bertambah emosi hingga ada yang merusuh dan membakar kenderaan di luar kuil tersebut hingga ke malam hari.
Lebih menunjukkan sikap rasis ialah sidang media awal Waytha Moorthy selaku Menteri dalam isu tersebut yang hanya disertai oleh Menteri-menteri keturunan dari India seperti Gobind Singh Deo, Dr. Xavier Jayakumar dan M Kulasegaran. Seolah-olah mahu menunjukkan tragedi kuil tersebut ialah isu perkauman, walhal ia adalah isu jenayah dan perlanggaran hak milik tanah. Hingga ke hari ini Kerajaan PH Selangor gagal menutup kuil haram tersebut dan ia masih berada di situ sedangkan arwah Adib sudah lama meninggalkan kita. Luka warga bomba khususnya orang Melayu-Islam masih berdarah selagi pembunuh Adib masih berkeliaran.
Rakyat juga tidak lupa bagaimana skandal banglo Lim Guan Eng digugurkan dari dibicarakan oleh Peguam Negara ketika itu Tommy Thomas, peguam pro DAP yang pernah membela Chin Peng.
Malah kes tangkapan beberapa penyokong pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) turut dilepaskan atas arahan Peguam Negara tanpa hujah yang kuat. Seolah-olah rakyat Malaysia ini bodoh tidak nampak betapa berat sebelahnya Tommy Thomas selaku Peguam Negara ketika itu. Ia menambahkan lagi kebencian peribumi terhadap Kerajaan PH. Penolakan Melayu-Islam terhadap PH makin dizahirkan dengan kekalahan demi kekalahan dalam PRK yang melibatkan calon dari Parti BERSATU.
Selain yang di atas, antara watak yang sering menyakiti hati Melayu-Islam dalam PH adalah Dr. P. Ramasamy Timbalan Menteri II Pulau Pinang. Beliau bukan sahaja mempersoalkan kewajaran projek lapangan terbang Antarabangsa Kulim yang bakal memberi manfaat kepada kemajuan negeri Kedah yang berpopulasi majoriti Melayu-Islam, malah beliau adalah watak utama yang menjadi penaung kepada propaganda bahawa Tamadun Lembah Bujang di Kedah itu kononnya adalah tamadun dari kaum Tamil melalui teori migrasi Tamil ke Nusantara yang dipercayainya. Ini bertentangan dengan fakta sejarah rasmi negara malah mempunyai unsur untuk memutar-belit status Bumiputera atau penduduk asal negara ini khususnya di Kedah.
Pengaruh golongan songsang LGBT juga makin ketara setelah PH menawan negara, mereka dengan berani menonjolkan diri malah mempromosi agar kelompok mereka diterima masyarakat. Hari Wanita Sedunia tahun 2019 seolah-olah telah dirampas oleh kelompok tersebut yang berarak di tengah kota sambil melaungkan kesaksamaan gender dan hak LGBT. Antara penyokong kuat kelompok LGBT adalah Ahli Parlimen Klang dari DAP Charles Santiago. Orang yang sama yang mahu Kerajaan menghantar pulang Dr. Zakir Naik kembali ke India. Langkah lunak Menteri Agama ketika itu juga yang pada awalnya memberi muka kepada wakil LGBT telah menimbulkan rasa tidak puas hati golongan konservatif di negara ini.
Dalam kekalutan pentadbiran PH ketika itu, Tun Dr. Mahathir menyedari bahawa timbul semangat penyatuan Melayu-Islam yang akhirnya diterjemahkan melalui penganjuran Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pada Oktober 2019. Walaupun tidak disenangi oleh beberapa pemimpin dari dalam PH namun Parti BERSATU antara yang terkehadapan mempromosi kongres tersebut demi penyatuan ummah. Dari situlah rakyat marhaen Melayu-Islam mula mengharapkan suatu tindakan konkrit yang benar-benar boleh merealisasikan penyatuan bangsa mereka demi masa depan negara. Cukuplah dengan segala keterlanjuran Melayu berpolitik selama ini.
Sekarang cuba tanya rakyat biasa di bawah sana khususnya orang Melayu (kerana Parti BERSATU bertanding di kawasan majoriti Melayu yang konservatif) adakah mereka kisah sama ada BERSATU atau Umno atau PAS yang paling berpengaruh dalam Kerajaan sekarang? Atau adakah mereka lebih mementingkan penyatuan, kerjasama, toleransi dan persefahaman antara parti-parti berasaskan Melayu-Islam ini melalui suatu gagasan baru yang sedang dalam proses untuk dirasmikan iaitu Perikatan Nasional (PN)? Apakah wajar pada ketika Kerajaan memberi fokus kepada isu kesihatan dan ekonomi negara sekarang ini kita perlu membicarakan soal pengagihan kerusi untuk PRU pula yang masih jauh ke hadapan?
Ya sudah tentu ada suara-suara sumbang dari dalam, namun ia adalah lumrah kerana bukan mudah untuk memuaskan hati pihak-pihak yang berkepentingan politik. Tetapi sekurang-kurangnya dalam sejarah negara, inilah yang diimpikan oleh kelompok majoriti rakyat Malaysia iaitu penyatuan walaupun berbeza wadah. Tanpa mengetepikan segala proses keadilan yang sedang berjalan serta prinsip anti korupsi yang jelas, Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dinobatkan secara sah dan rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mentadbir negara mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan. Sudah tiba masanya kita kuburkan perseteruan politik sesama Melayu-Islam yang banyak merugikan bangsa dan negara. Contohilah negara serumpun Indonesia yang semakin bersatu dalam politik atas semangat Kebangsaan yang tinggi.
DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi BERSATU Malaysia– HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan