SEORANG peniaga Pasar Awam Sekinchan, Sekinchan, disahkan positif Covid-19.Susulan itu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menutup tiga petak gerai di pasar itu, kelmarin.
Yang Dipertua MDSB Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, petak gerai berkenaan ditutup sementara sehingga tahap kesihatan peniaga berkenaan kembali pulih.
"Untuk makluman, peniaga terbabit didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian 'swab' pada 5 Mei lalu.
"Keseluruhan pasar awam masih beroperasi seperti biasa, namun hanya tiga petak gerai itu ditutup sementara," katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar peniaga dan pekerja di Pasar Awam Sekinchan sudah menjalani ujian 'swab' seperti yang diarahkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam.
Tegasnya, MDSB memandang serius terhadap peniaga dan pekerja yang belum menjalani ujian Covid-19.
"Saya berharap semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti mematuhi penjarakan sosial dan sentiasa memakai pelitup muka.
"Orang ramai juga diminta mendaftar sebagai pengunjung pasar selain tidak membawa individu berisiko yang mudah dijangkiti seperti warga emas dan kanak-kanak serta kerap mencuci tangan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan