Rabu, 13 Mei 2020

Bawa isteri hamil tonton lumba haram

Dziyaul Afnan Abdul Rahman

 KANGAR 13 MEI 2020. Polis menahan 40 individu termasuk pasangan suami isteri selepas didapati berkumpul di Jalan Sungai Batu Pahat bagi menyaksikan perlumbaan haram motosikal semalam.STR/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

SUAMI isteri antara 40 individu yang ditahan selepas berkumpul di Jalan Sungai Batu Pahat bagi menyaksikan perlumbaan haram motosikal, semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis, Asisten Superintendan Mohd Rizal Emran berkata, dalam operasi yang dilakukan pihaknya 6.40 petang itu turut menahan lima individu berusia 18 dan 19 tahun yang leka berlumba haram dengan motosikal masing-masing.

Katanya, pasangan yang berusia 18 tahun itu berasal dari sekitar daerah ini memberikan alasan yang tidak munasabah ketika pihaknya menahan mereka kerana berkumpul di bahu jalan bagi menyaksikan perlumbaan terbabit.

"Malah wanita terbabit juga sedang mengandung empat bulan sewaktu dia ditahan bersama suaminya.

"Polis telah menegur pasangan terbabit memandangkan mereka sudah memasuki alam rumah tangga dan seharusnya bertindak dengan lebih matang sebelum melakukan sesuatu perkara yang dilihat menyalahi undang-undang," katanya ketika ditemui di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar malam tadi.

Mohd Rizal berkata, 61 notis saman yang membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan pihaknya kepada 35 individu berusia antara 14 hingga 20 tahun termasuk pasangan terbabit.

"Manakala lima penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya akan ditahan pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan orang lain," katanya.

Sementara itu, Mohd Rizal mengambil kesempatan dengan menegur ibu bapa yang hadir ke balai polis malam tadi bagi melihat keadaan anak mereka yang ditahan.

"Sepatutnya ibu bapa tidak sewenangnya memberi keizinan kepada anak-anak mereka yang masih muda dan berstatus pelajar keluar rumah dengan menunggang motosikal tanpa tujuan.

"Terutamanya ketika ini adalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dilaksanakan di seluruh negara," katanya.


Tiada ulasan: