PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan pengawal keselamatan warga asing diwajibkan menjalani saringan kesihatan (ujian swab) bagi memutuskan jangkitan dan penularan COVID-19, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana golongan tersebut antara yang terdedah kepada orang ramai di pintu masuk mana-mana pasar raya, sekali gus berisiko untuk dijangkiti wabak tersebut.
“Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat (Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP) hari ini.
“Pengawal keselamatan ada hubungan yang banyak dengan orang ramai, lebih-lebih yang tidak didaftarkan apabila memasuki pasar raya dan ini sukar dikesan,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti satu kluster melibatkan pengawal dan anggota keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Cheras, melibatkan 10 kes positif COVID-19 iaitu sembilan warganegara Nepal dan seorang warganegara Malaysia.
Ditanya sama ada pusat membeli-belah itu akan ditutup, Ismail Sabri berkata itu terletak pada bidang kuasa KKM untuk menentukannya.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan arahan kepada syarikat pengawal keselamatan, mengenai arahan mewajibkan pengawal keselamatan warga asing supaya menjalani saringan kesihatan ujian swab COVID-19.
Sementara itu ketika ditanya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan tamat pada 12 Mei depan akan disambung, beliau berkata, kerajaan akan membuat pengumuman mengenai perkara itu dalam waktu terdekat.
“Tunggulah pengumuman. Seperti biasa mungkin dua tiga hari sebelum tamat satu-satu PKP itu, kerajaan akan buat pengumuman. Jadi kita tunggu sahajalah,” katanya lagi.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberikan nasihat kepada kerajaan (berhubung lanjutan PKP) kerana Akta 342 adalah di bawah KKM.
“Menteri Kesihatan akan menasihatkan sama ada PKP perlu disambung atau tidak, katanya lagi.
Pelaksanaan PKP bermula pada 18 Mac yang kini sudah di fasa keempat, akan tamat pada 12 Mei ini dan pada masa yang sama kerajaan turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei, bagi memberi kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan