Khamis, 7 Mei 2020

Pemandu mabuk: Tak cukup 3 tahun penjara, patut hukuman mati

ainulillia

 

Perketat undang-undang, kerajaan perlu utamakan maslahah

BANGI – Kerajaan mesti mengutamakan maslahah ammah untuk semua masyarakat dalam menangani isu pemandu mabuk yang menyebabkan kematian – apabila isu ini dilihat tidak berkesudahan, kata Pengerusi Perhubungan BERJASA Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim. 

Beliau berkata, jika kerajaan gagal melaksanakan maslahah ammah, bermakna ia gagal menjalankan fungsinya sebagai sebuah kerajaan yang mampu memikirkan sebuah pelaksanaan demi kepentingan umum. 

Beliau berkata demikian merujuk insiden pemandu mabuk yang merempuh Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail ketika sedang menjalankan tugas di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS), baru-baru ini.

“Isu arak bukan baru berlaku tapi sudah lama, sudah banyak jiwa terkorban, jangan nak tunggu sampai menteri kehilangan anak baru nak ambil tindakan.  

“Kalau tunggu sampai macam itu, ini menunjukkan kerajaan itu tidak bijak. Kerajaan yang bijak mementingkan maslahah ammah, kepentingan umum. 

“Dia (kerajaan) mesti mengambil tindakan yang boleh menjamin kesenangan, keharmonian kepada rakyat,” katanya dalam program Pertiwi Eksklusif, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, hakikat bahawa arak memudaratkan tidak boleh dinafikan lagi, bahkan minuman itu yang sememangnya haram mengikut hukum Islam, bahkan memudaratkan bagi mereka yang menganut apa jua agama. 

“Amat besar mudarat dia. Kalau kita kata hak individu itu lebih utama dari hak keselamatan umat manusia, di sinilah kesilapan kita dalam menilai sesuatu untuk kita laksanakan tindakan. 

“Salah kita nilai tindakan itu, maka akibatnya akan berlaku kerosakan. Oleh itu, perketatkan, jangan permudahkan,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Zamani berkata, peruntukan sedia ada tiada unsur yang boleh mencegah dengan kuat daripada berulangnya tragedi menyayat hati itu.

“Kerajaan perlu lihat semula peruntukan dan ianya perlu dinilai juga bagaimana sesebuah hukuman itu mampu mencegah daripada berlakunya masalah tersebut. 

“Tiga tahun penjara tidak cukup bagi kes yang menyebabkan kehilangan nyawa. Bayangkan ada ayah yang anaknya hilang nyawa. Ibu yang anaknya hilang nyawanya.

“Jadi paling terbaik, mungkin boleh dikaji jika kes yang melibatkan meragut nyawa ini boleh disesuaikan dengan hukuman bunuh. Mesti dilihat semula hukuman sedia ada supaya pencegahan dapat berlaku,” katanya.

Kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk kerap berlaku, namun hukuman yang dikenakan terhadap pesalah masih dianggap ‘ringan’. 

Sebelum ini, empat beranak cedera termasuk bayi perempuan bersama ibunya parah, apabila mereka dirempuh sebuah kereta Kejadian berlaku jam 11.30 malam selepas sebuah kereta jenis BMW terbabas melanggar bahagian belakang sebuah van persiaran.

Dua sahabat juga maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.

Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.


Tiada ulasan: