Ahad, 17 Mei 2020

Mengejutkan, SPRM terus berbohong, dakwa Tommy Thomas

Norlaile Abd Rahman

MGF250719_NAJIB-KE-MAHKAMAH02
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR- Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa beliau terlibat dalam keputusan melepaskan tanpa membebaskan Riza Abdul Aziz iaitu anak tiri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan di sini, Tommy berkata, beliau telah membetulkan kenyataan bohong SPRM pada 14 Mei lalu, bagaimanapun badan pencegahan rasuah itu tetap mempertahankan pendirian mereka.

Beliau merujuk kepada para terakhir kenyataan media SPRM yang menyebut “persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas,” yang menurut Tommy amat jelas tidak benar.

“Ini sangat mengejutkan kerana SPRM terus berbohong selepas kebenaran ditunjukkan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Artikel berkaitan: Persetujuan lepas tanpa bebas Riza, kerajaan bakal terima semula aset RM465.3 juta

Jumaat lalu Tommy menafikan beliau terlibat dalam keputusan melepas tanpa membebaskan Riza Riza Shahriz Abdul Aziz yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penafiannya itu menyusul selepas SPRM mengeluarkan satu kenyataan memberitahu bahawa Malaysia dijangka menerima semula aset-aset di luar negara yang dianggarkan berjumlah USD107.3 juta (RM465.3 juta) berikutan keputusan bersyarat oleh Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mempertahankan kenyataan awal badan itu bahawa keputusan tersebut telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh Tommy.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad membuat keputusan sedemikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah perkara itu tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian di pihaknya.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan hari ini Tommy mengakui ada menerima sepucuk surat bertarikh 18 November 2019 daripada peguam-peguam Riza yang menghantar representasi bertulis kepada beliau bagi menyemak semula pertuduhan jenayah terhadap klien mereka.

Menurutnya, setiap hari Jabatan Peguam Negara menerima representasi bertulis daripada peguam-peguam yang mewakili anak guam mereka yang menghadapi pertuduhan jenayah dan memohon rayuan.

Artikel berkaitan: Anak tiri Najib lepas tanpa bebas

“Dengan itu, tiada apa yang pelik mengenai penghantaran representasi oleh peguam Riza.

“Sama ada saya secara peribadi bersetuju terhadap permintaan mereka supaya Riza dibebaskan adalah dua isu berbeza.

“Saya tidak pernah bersetuju untuk membebaskan Riza. Ringkas dan mudah,” tegasnya.

Tambah Tommy, surat tersebut diserahkan kepada Gopal Sri Ram untuk dikaji dan kemudiannya memberi cadangan kepada beliau.

Bagaimanapun, beliau tidak menerima sebarang nasihat daripada Gopal sehinggalah Tommy meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara pada 28 Februari lalu.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

* Reaksi Anak Tiri Najib Razak, Riza Aziz Hadir Mahkamah Kuala Lumpur

* Tun Mahathir keliru dan tertanya-tanya

* Jika ‘dia’ masih tak faham, panggil Gopal Sri Ram, Tommy Thomas jelaskan – Najib


Tiada ulasan: