Ahad, 17 Mei 2020

750 wakil rakyat, petugas Parlimen sudah jalani ujian Covid-19

Mohd Zaini Samsu Hadi

MGF26072019_Pembentangan-Ekonomi-Malaysia_03
Dewan Rakyat bersidang satu hari 18 Mei ini berikutan pelaksanaan PKP. Foto Arkib

PUTRAJAYA – Seramai 750 wakil rakyat dan petugas yang menyertai sidang Parlimen pada Isnin sudah menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tidak ada dalam kalangan wakil rakyat dan juga warga kerja Parlimen yang positif selepas saringan dilakukan.

“Semalam merupakan tarikh terakhir untuk semua wakil rakyat dan warga kerja Parlimen menjalani ujian saringan berkenaan.

“Alhamdulillah setakat ini tiada kes positif,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Sebelum ini, Noor Hisham memaklumkan semua wakil rakyat dan petugas yang menyertai sidang Parlimen pada 18 Mei ini perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk.

Langkah itu katanya, merupakan sebahagian norma baharu bertujuan mengekang penularan wabak yang dialami di seluruh dunia itu.

Dewan Rakyat bakal bersidang selama sehari pada Isnin ini selepas mengambil kira keadaan semasa, terutama usaha membendung pandemik Covid-19.

Persidangan tersebut hanya akan menyaksikan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Satu pindaan dibuat selaras dengan Peraturan 11(2) dan 15(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan akan diedarkan kepada semua Ahli Parlimen.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk menjalankan sidang selama satu hari yang akan menyaksikan beberapa usul akan dibentangkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, ia mendapat reaksi berbeza daripada Pakatan Harapan serta sekutunya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mendesak supaya sidang Dewan Rakyat bersidang secara penuh atau sekurang-kurangnya dua minggu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: